SKUAD Sarawak United FC (SUFC) meneruskan momentum kemenangan apabila menewaskan pasukan senegeri, Kuching City FC (KCFC) 2-0 dalam saingan Liga Perdana di Stadium Hang Jebat, malam semalam.
Dengan kemenangan tersebut membolehkan SUFC yang dikendalikan oleh E Elavarasan itu meraih sembilan mata, sekali gus memintas pendahulu Negeri Sembilan yang kini menduduki tangga kedua liga dengan tujuh mata.
SUFC yang tampil bertenaga dalam misi meraih mata maksimum di laman sendiri tidak menunggu lama untuk merobek gawang pelawat menerusi jaringan bekas penyerang Melaka United, Uche Agba pada minit ke-9 perlawanan.
Gol terbabit berpunca hasil hantaran tepat pemain sayap Christie Jayaselan disambut baik Agba yang bijak melakukan tandukan menewaskan penjaga gol Mohd Iqbal Suhaimi.
Namun ketika KCFC giat berusaha mencari gol penyamaan mereka dihukum menerusi jaringan Stuart James Wilson Wark pada minit ke-45 hasil sepakan sudut Changhoon Lee.
Dua gol pada babak pertama menerusi jaringan Uche Agba dan Stuart sudah cukup melebarkan rekod tanpa kalah dan tanpa bolos SUFC daripada tiga perlawanan berturut-turut.
Pada babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, dengan KCFC menghadirkan beberapa cubaan berbahaya melalui Bryan Jones dan Yuta Suzuki.
Hairol Mokhtar juga hampir merapatkan jurang gol pada minit-minit akhir perlawanan, namun cubaan di dalam petak penaltinya sipi ke sebelah kanan pintu gol.
Pertahanan kedua-dua pasukan kekal kebal sehingga tamat babak kedua, sekaligus menyaksikan SUFC bukan sahaja meneruskan rentak kemenangan malam itu, tetapi juga meneruskan rekod tanpa bolos pasukan bimbingan E. Elavarasan.
Keputusan terbabit menyaksikan Sarawak United unggul di persada liga selepas tiga kemenangan berturut-turut.
Menurut Elavarasan, untuk mengekalkan momentum kemenangan dan tanpa bolos dalam tiga perlawanan berturut-turut merupakan satu rekod yang baik dan konsisten bagi anak-anak buahnya.
“Tidak dinafikan, aksi menentang KCFC malam ini sememangnya sengit, namun dua gol awal pada separuh masa pertama telah memberikan kelebihan SUFC untuk meraih tiga mata berharga pada malam ini.
“Sebenarnya kita boleh menambah lebih dua gol, jika pemain KCFC terus melakukan kesilapan pada perlawanan tersebut,” ujarnya ketika ditanya pemberita selepas perlawanan.
Ditanya mengenai pertahanan SUFC dalam perlawanan itu, Elavarasan berkata kapten pasukan, Taylor Regan antara watak terpenting yang memainkan peranan kejayaan pasukan itu meneruskan rekod tanpa bolos hasil daripada tiga kemenangan berturut-turut.
SUFC pada aksi keempat selepas ini akan menanti kunjungan pasukan Terengganu FC II pada 21 Mac (Ahad) di Stadium Hang Jebat Melaka, jam 9 malam.
Oleh ADI SAFARMAN