
SANTA CLARA, Amerika Syarikat: Paraguay yang beraksi dengan 10 pemain menewaskan Turkiye 1-0 dalam aksi Piala Dunia sebentar tadi, sekali gus menghidupkan peluang mereka untuk mara ke pusingan seterusnya dan pada masa yang sama mengesahkan tuan rumah bersama, Amerika Syarikat, muncul juara Kumpulan D.
Kekalahan tersebut menyaksikan Turkiye menjadi pasukan kedua tersingkir daripada kejohanan selepas Haiti.

Matias Galarza menjaringkan gol tunggal perlawanan yang turut menyaksikan kad merah pertama dalam sejarah Piala Dunia dilayangkan kepada pemain yang menutup mulut ketika berlaku pertikaian di atas padang, melibatkan Miguel Almiron.
Galarza meletakkan Paraguay di hadapan seawal minit kedua apabila rembatan rendah dari jarak jauh yang dilakukannya gagal diselamatkan penjaga gol Turkiye, Ugurcan Cakir selepas hanya 63 saat permainan berlangsung.
Bekas penyerang Newcastle itu pula diperintah keluar padang pada masa kecederaan babak pertama selepas menutup mulut ketika dipercayai mengeluarkan kata-kata terhadap pemain Turkiye, Mert Muldur.

Dalam perlawanan yang berlangsung sengit dan kurang mempamerkan aksi menarik, Deniz Gul memiliki peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-88 apabila penjaga gol Paraguay, Orlando Gill hanya mampu menepis satu percubaan, namun rembatannya tersasar daripada sasaran.
Merih Demiral turut mensia-siakan peluang pada saat-saat akhir apabila tandukannya melewati palang gol, sebelum hampir menitiskan air mata sejurus tamat perlawanan ketika para pemain Turkiye rebah di atas padang dalam kekecewaan yang amat mendalam. – AFP
