Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Brazil mudah atasi Haiti untuk kembali menghidupkan kempen Piala Dunia
  • SUKAN

Brazil mudah atasi Haiti untuk kembali menghidupkan kempen Piala Dunia

Utusan Sarawak 5 hours ago
PENYERANG Brazil #09, Matheus Cunha, meraikan kemenangan Brazil dalamperlawanan Kumpulan C Piala Dunia 2026 menentang Haiti di Stadium Philadelphia, Philadelphia. Foto AFP

PHILADELPHIA, Amerika Syarikat: Matheus Cunha menjaringkan dua gol ketika Brazil menewaskan Haiti 3-0 pada Jumaat bagi menghidupkan semula kempen Piala Dunia mereka dan semakin hampir mengesahkan tempat ke pusingan 32 terakhir.

Selepas persembahan yang dikritik dalam keputusan seri 1-1 menentang Maghribi pada aksi pembukaan, juara lima kali itu membuktikan jurang kualiti jelas antara mereka dan Haiti, yang menjadi negara pertama tersingkir daripada Piala Dunia ini.

Gol ‘bergasak’ Cunha di Philadelphia membuka jaringan Brazil pada pertengahan babak pertama, sebelum dia sekali lagi menemui sasaran ketika pasukan Carlo Ancelotti menguasai permainan. Vinicius Junior menambah gol ketiga sebelum rehat.

Brazil akan menentang Scotland dalam perlawanan terakhir Kumpulan C di Miami pada 24 Jun.

Penampilan pertama Haiti di Piala Dunia sejak 1974 akan berakhir selepas mereka menentang Maghribi di Atlanta.

Skuad Selecao kini mempunyai kelebihan ke atas Maghribi bagi kedudukan teratas kumpulan berdasarkan perbezaan jaringan. Jika menamatkan saingan di tempat pertama, mereka akan berdepan naib juara Kumpulan F — berkemungkinan Belanda, Jepun atau Sweden — pada pusingan seterusnya.

Neymar tidak bersama skuad kerana masih menjalani pemulihan kecederaan betis, sekali gus mendorong Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva bergurau bahawa beliau “bekerja dari jauh”.

Seperti dijanjikan, Ancelotti melakukan perubahan selepas persembahan hambar menentang Maghribi, dengan memasukkan penyerang Manchester United, Cunha menggantikan Igor Thiago dari Brentford serta menggantikan Roger Ibanez dengan Danilo di bek kanan.

Walaupun terdapat larangan kerajaan Amerika Syarikat yang menghalang penyokong dari Haiti untuk hadir, negara Caribbean itu tetap menerima sokongan kuat daripada diaspora Haiti yang memenuhi kira-kira separuh daripada 68,324 penonton.

Berasa kecewa selepas gagal meraih sekurang-kurangnya satu mata dalam kekalahan 1-0 kepada Scotland minggu lalu, jurulatih Haiti Sebastien Migne menggesa anak buahnya memanfaatkan peluang menentang Brazil di pentas Piala Dunia.

GABRIEL Magalhães #3 dari Brazil bersaing untuk merebut bola tandukan dengan Hannes Delcroix #5, Dominique Simon #25 dan Ricardo Ade #4 dari Haiti semasa perlawanan Kumpulan C Piala Dunia FIFA 2026 antara Brazil dan Haiti di Stadium Philadelphia. Foto AFP

Dengan jarak 77 tangga dalam ranking FIFA, Brazil segera menguasai permainan dan menyangka mereka sudah membuka jaringan apabila rembatan Raphinha menerjah gawang, namun pemain Barcelona itu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Namun itu hanya petanda awal sebelum Brazil memecah kebuntuan pada minit ke-23.

Cunha memulakan gerakan dengan memenangi bola di tengah padang dan selepas percubaan Vinicius ditepis, dia paling pantas menyambar bola hasil clearance Hannes Delcroix sebelum memasukkannya ke gawang.

Vinicius dan Cunha sekali lagi bergabung untuk gol kedua apabila Vinicius melorongkan bola kepada rakan sepasukan itu yang melepasi pertahanan Haiti sebelum melepaskan rembatan kaki kiri padu sambil terjatuh.

Brazil kehilangan Raphinha akibat kecederaan, namun menambah gol ketiga sebelum rehat apabila Vinicius menerima hantaran lambung Lucas Paqueta dan menolak bola melalui celah kaki Johny Placide.

Haiti hampir menjaringkan gol pertama mereka di Piala Dunia selepas 52 tahun apabila tandukan Ricardo Ade dari sepakan sudut memaksa Alisson Becker melakukan penyelamatan pantas, namun itu antara sedikit peluang yang mereka cipta.

Kemunculan Endrick, pemain berusia 19 tahun, ketika Ancelotti membuat pertukaran pemain disambut sorakan besar penyokong Brazil, yang hampir menambah gol apabila Gabriel Martinelli menggegar palang.

Haiti terus berjuang hingga akhir perlawanan apabila Alisson melakukan dua penyelamatan lewat permainan bagi memastikan Brazil mencatatkan cleansheet pertama dalam tujuh perlawanan, sekali gus menutup permulaan kurang meyakinkan dalam kejohanan ini. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Amaran Piala Dunia: Bintang Sweden Isak semakin kuat dan berbahaya
Next: Tunisia persoal bagaimana bintang Sweden Ayari ‘terlepas’ dari genggaman mereka

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.