
SIBU: Seorang individu yang menjadi mangsa ugutan tuntutan tidak munasabah oleh pemberi pinjaman wang dalam talian tidak berlesen tampil mendapatkan bantuan selepas dipaksa membayar pampasan tambahan RM30,000 walaupun telah membuat bayaran balik sebahagian pinjaman yang diterimanya.
Kes tersebut dibawa ke Pusat Khidmat Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, semalam.
Menurut pengadu, beliau sebelum ini meminjam sebanyak RM15,000 daripada seorang pemberi pinjaman wang tidak berlesen menerusi platform dalam talian dan telah membuat pembayaran balik sebanyak RM7,500 ke dalam akaun bank peribadi yang diberikan.
Bagaimanapun, pemberi pinjaman berkenaan kemudiannya mendakwa akaun bank miliknya telah dibekukan susulan transaksi tersebut, menyebabkan bayaran RM7,500 itu tidak diiktiraf.
Pihak terbabit kemudian menuntut pampasan tambahan sebanyak RM30,000 daripada pengadu.
Pengadu yang menganggap tuntutan itu tidak munasabah memberitahu beliau hanya berniat untuk melunaskan baki pinjaman sebanyak RM7,500 bagi menyelesaikan hutang berkenaan.
Disebabkan tekanan dan tuntutan berterusan yang diterima, beliau tampil mendapatkan bantuan daripada pusat khidmat tersebut.
Selepas meneliti kes berkenaan, pihak pusat khidmat telah menemani pengadu membuat laporan polis.
Hasil semakan oleh pegawai penyiasat mendapati akaun bank yang didakwa telah dibekukan sebenarnya masih aktif dan beroperasi seperti biasa.
Susulan itu, pihak polis mengambil tindakan membekukan akaun bank berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.
Berdasarkan siasatan semasa, pengadu tidak perlu membayar sebarang pampasan tambahan yang dituntut ataupun baki hutang yang didakwa oleh pihak terbabit.
Selain itu, polis turut menasihatkan bahawa sekiranya pihak pemberi pinjaman mendedahkan maklumat peribadi pengadu seperti gambar, nombor kad pengenalan, alamat rumah atau maklumat peribadi lain di platform dalam talian, aduan boleh dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi melindungi hak dan keselamatan mangsa.
Sementara itu, pusat khidmat mengingatkan orang ramai supaya tidak mendapatkan pinjaman daripada pemberi pinjaman wang tidak berlesen dan segera membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya berdepan situasi yang sama.
Oleh Akun Giman