
PHILADELPHIA, Amerika Syarikat: Pertahanan Brazil, Gabriel Magalhães, menggesa Brazil supaya segera melupakan persembahan mengecewakan dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia mereka dan memberi tumpuan penuh untuk bangkit menentang Haiti di Philadelphia, pagi esok (waktu Malaysia).
Juara dunia lima kali itu seri 1-1 dengan Maghribi dalam aksi pembukaan Kumpulan C, namun masih dijangka mampu menewaskan Haiti yang membuat penampilan di kejohanan itu buat kali pertama sejak 1974.
“Kami tahu apa yang perlu kami lakukan. Kami tahu kami tidak bermain baik dalam perlawanan pertama, tetapi apa yang boleh dijangka daripada kami ialah kami akan benar-benar komited esok dan akan melakukan yang terbaik untuk menang,” kata Gabriel dalam sidang media pra-perlawanan pada Khamis.
“Ia bukan perlawanan yang kami mahukan (menentang Maghribi), tetapi ia sudah berlalu dan kami telah belajar daripadanya.”

Brazil sebelum ini mencatat kemenangan dalam semua tiga pertemuan menentang Haiti, termasuk kemenangan 7-1 pada Copa America Centenario 2016 dalam satu-satunya pertemuan kompetitif antara kedua-dua pasukan.
“Semua perlawanan sukar tanpa mengira siapa lawan, tiada perlawanan yang mudah,” kata Gabriel.
“Kami tidak boleh melakukan kesilapan. Mereka adalah pasukan yang kuat dari segi fizikal.”
Jurulatih Carlo Ancelotti mendedahkan beliau akan melakukan beberapa perubahan pada kesebelasan utama, namun menegaskan ia bukan rombakan besar, sebaliknya bagi menyegarkan pasukan.
“Kami akan melakukan beberapa perubahan, tetapi bukan perubahan besar, mungkin beberapa pemain yang lebih segar,” kata jurulatih Itali itu.
“Memulakan kejohanan dengan baik memang penting, tetapi yang paling penting ialah pasukan itu, bukannya sempurna, perlu lebih berdaya tahan.”

Beliau menambah, pasukan perlu kekal tabah ketika berdepan kesukaran dan tidak boleh berputus asa, sambil menyatakan keyakinan terhadap peningkatan prestasi skuadnya.
Walaupun permulaan perlahan dan ketiadaan berterusan Neymar yang masih belum pulih daripada kecederaan betis, Ancelotti tetap yakin kualiti skuadnya akan menyerlah.
Jurulatih Haiti, Sébastien Migné pula menegaskan beliau memahami cabaran menewaskan Brazil di pentas Piala Dunia, berdasarkan pengalamannya bersama Cameroon ketika menewaskan Brazil 1-0 pada edisi 2022.
“Pasukan kami mempunyai segala-galanya untuk menang. Kami tidak pernah ke Piala Dunia selama 52 tahun dan kami bertuah dapat menentang Brazil. Ia sesuatu yang menakjubkan, satu peluang besar, tetapi kami perlu menyahut cabaran itu,” katanya.
Pasukan Haiti tewas 1-0 kepada Scotland dalam perlawanan pembukaan, namun Migné masih melihat peluang untuk memberi saingan dalam baki perlawanan kumpulan.
“Kami telah menunjukkan bahawa kami memang layak berada di Piala Dunia. Kami tidak merampas tempat ini,” katanya. – AFP