
VANCOUVER, Kanada: Kanada membelasah Qatar yang beraksi dengan sembilan pemain 6-0 untuk meraih kemenangan sulung dalam sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia, semalam, dalam perlawanan Kumpulan B yang dicemari kecederaan ngeri menimpa pemain tengah, Ismael Kone.
Hatrik Jonathan David, selain masing-masing satu gol daripada Cyle Larin dan Nathan Saliba serta satu gol sendiri Qatar, memastikan kemenangan bersejarah buat Kanada yang kini hanya memerlukan keputusan seri menentang Switzerland dalam perlawanan terakhir kumpulan untuk muncul juara Kumpulan B.

Namun, suasana penuh kegembiraan di Stadium BC Place yang turut disaksikan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, yang hadir memberikan sokongan kepada skuad Les Rouges, bertukar suram apabila Kone mengalami kecederaan serius pada minit ke-51.
Pemain Qatar, Assim Madibo, menjatuhkan Kone menerusi terjahan keras dari belakang sehingga menyebabkan pemain tengah yang beraksi di Itali itu mengerang kesakitan sambil memegang kaki kirinya.

Keseriusan kecederaan itu jelas kelihatan apabila rakan sepasukan segera memanggil pasukan perubatan Kanada untuk memberikan bantuan.
Kone akhirnya diusung keluar dari padang sambil melambai ke arah penyokong dan menerima bantuan oksigen.
Madibo, yang pada mulanya dilayangkan kad kuning, diperintah keluar padang selepas hukumannya ditingkatkan kepada kad merah susulan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR). Ia merupakan kad merah kedua buat Qatar selepas Homam el-Amin turut dibuang padang pada separuh masa pertama.

Dengan kelebihan dua pemain, Kanada memanfaatkan sepenuhnya keadaan itu untuk menambah tiga lagi gol.
Saliba, yang masuk menggantikan Kone yang cedera, menjaringkan gol menerusi sepakan percuma lencong pada minit ke-64 bagi menjadikan kedudukan 4-0.
Pemain gantian itu meraikan jaringannya dengan berlari ke tepi padang sambil mengangkat replika jersi Kanada milik Kone sebagai tanda sokongan terhadap rakan sepasukannya.

Seorang lagi pemain gantian, Jacob Shaffelburg, membantu menjadikan kedudukan 5-0 apabila percubaannya terkena pertahanan Qatar, Mohammad Manai, sebelum menerjah gawang sendiri.
David, yang sudah menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama selepas gol pembukaan Larin pada minit ke-16, melengkapkan hatriknya pada minit kedua masa kecederaan sekali gus melengkapkan kemenangan besar Kanada. — AFP