
LOS ANGELES, Amerika Syarikat: Pemain gantian Johan Manzambi dan Ruben Vargas membawa Switzerland meraih kemenangan 4-1 ke atas Bosnia-Herzegovina yang beraksi dengan 10 pemain menerusi jaringan berturut-turut pada penghujung perlawanan di Los Angeles sebentar tadi.
Keputusan itu memberikan peluang cerah kepada Switzerland untuk mara ke pusingan kalah mati sebagai salah satu daripada dua pasukan terbaik Kumpulan B.
Switzerland menguasai sebahagian besar perlawanan yang agak hambar di Stadium SoFi sebelum jurulatih Murat Yakin membuat pertukaran pada minit ke-72 dengan memasukkan kedua-dua penyerang tersebut, yang serta-merta mengubah corak permainan.
Percubaan Bosnia untuk mengeluarkan bola hasil hantaran lintang Vargas jatuh kepada Manzambi, yang menjaringkan gol menerusi sepakan voli pada sentuhan pertamanya dalam perlawanan itu. Tidak lama kemudian, Manzambi pula bertindak sebagai pencipta gol apabila membantu Vargas menjaringkan gol kedua.
Di antara dua jaringan itu, Bosnia kehilangan Tarik Muharemovic yang dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan gelongsor dari belakang ke atas Breel Embolo yang sedang mara bersendirian ke arah gol.
Keadaan menjadi lebih buruk buat Bosnia apabila Vargas kemudian membantu satu lagi gol yang disempurnakan oleh bintang muda Freiburg berusia 20 tahun itu, Manzambi.
Ermin Mamhic menjaringkan gol saguhati yang menarik hasil sepakan penjuru, namun sepakan penalti Granit Xhaka pada masa kecederaan mengesahkan kemenangan besar Switzerland.

Switzerland kini mendahului Kumpulan B dengan empat mata, tiga mata di hadapan pasukan lain, manakala Kanada dan Qatar dijadualkan beraksi pada 6.00 pagi ini (waktu Malaysia).
Dengan negara mereka hanya membuat penampilan kedua di Piala Dunia, penyokong Bosnia hadir dalam jumlah yang besar.
Lautan penyokong berbaju biru memenuhi stadium yang mengagumkan itu dan menenggelamkan sorakan penyokong Switzerland, kecuali seorang lelaki yang berpakaian seperti lembu dan tanpa gentar terus menggoncang loceng lembu gergasinya.
Switzerland lebih menyerlah pada awal permainan.
Pemain tengah berpengalaman, Xhaka dan Remo Freuler, mengatur beberapa gerakan di bahagian kiri kepada Dan Ndoye, namun usaha mereka sering berakhir dengan hantaran lintang yang kurang kemas serta penyudah yang tumpul.
Walaupun memulakan perlawanan dengan corak yang lebih bertahan, Bosnia perlahan-lahan mula menyesuaikan diri.
Bintang berusia 40 tahun, Edin Dzeko, mencipta peluang terbaik pasukannya pada minit ke-32 apabila bijak melorongkan bola merentasi kawasan enam ela kepada Benjamin Tahirovic, namun pemain itu gagal menyambut hantaran tersebut di tiang jauh.

Ndoye hampir memberikan Switzerland gol pembukaan yang menakjubkan selepas rehat apabila melepaskan sepakan gunting hasil hantaran Xhaka, namun penjaga gol Nikola Vasilj berjaya menepis bola melepasi palang.
Dzeko yang semakin kecewa menerima kad kuning selepas merempuh Manuel Akanji sebelum kemudiannya dikeluarkan.
Yakin membuat tiga pertukaran pada minit ke-72 dan dua minit kemudian, dua pemain gantian itu bergabung untuk meletakkan Switzerland di hadapan.
Vargas melakukan larian di sayap kiri. Hantaran lintang pertamanya dipatahkan sebelum bola kembali kepadanya, dan pada percubaan kedua, tandukan Amar Memic untuk mengeluarkan bola jatuh kepada Manzambi yang terus melepaskan sepakan voli untuk menjaringkan gol.
Muharemovic dibuang padang pada minit ke-79 selepas melakukan terjahan dari belakang ke atas Embolo.

Selepas itu, pintu gol Bosnia terbuka luas. Pada minit ke-84, Manzambi yang bergerak dari sebelah kanan menemui Embolo sebelum penyerang itu menghantar bola kepada Vargas yang tidak dikawal untuk menjaringkan gol.
Enam minit kemudian, Vargas melakukan hantaran ke belakang kepada Manzambi yang tenang mengarahkan bola melepasi penjaga gol.
Tiga minit dalam masa kecederaan, Gregor Kobel menepis sepakan penjuru terus ke arah pemain gantian Bosnia, Mamhic, yang melepaskan rembatan padu untuk menjaringkan gol.
Namun, barisan pertahanan Bosnia sudah hilang tumpuan dan kekasaran terdesak oleh Amar Memic memberikan peluang kepada kapten Switzerland, Xhaka, untuk menyempurnakan sepakan penalti sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya pasukannya. – AFP