
MADRID, Sepanyol: Real Madrid mengesahkan ketibaan pertahanan, Ibrahima Konate, dari Liverpool pada Khamis menerusi kontrak selama empat tahun selepas tamat tempoh perjanjiannya di Anfield.
Kelab gergasi Sepanyol itu dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa mereka telah mencapai persetujuan dengan pemain pertahanan tengah berkenaan untuk menyertai Real Madrid sehingga 30 Jun 2030.
“Real Madrid dan Ibrahima Konate telah mencapai persetujuan untuk beliau menjadi pemain Real Madrid bagi tempoh empat musim akan datang, sehingga 30 Jun 2030,” menurut kenyataan tersebut.
Pemain berusia 27 tahun itu menyertai Liverpool dari kelab Jerman, RB Leipzig, pada 2021 dan telah membuat 183 penampilan bersama The Reds.
Sepanjang bersama Liverpool, Konate membantu pasukannya menjuarai Liga Perdana Inggeris pada 2025 serta memenangi Piala FA pada 2022, selain beberapa trofi lain.
Ketika ini, Konate sedang bersama skuad Perancis yang beraksi di Piala Dunia.
Beliau menjadi pemain terbaharu menyertai Real Madrid selepas kelab itu memperkukuhkan pasukan dengan pelantikan jurulatih baharu, Jose Mourinho, selain membawa masuk bek kiri Sepanyol, Marc Cucurella, dan pemain tengah Portugal, Bernardo Silva.
Los Blancos turut dikaitkan dengan perpindahan pemain sayap kanan Inter Milan, Denzel Dumfries, ketika mereka merombak skuad selepas mengharungi dua musim berturut-turut tanpa memenangi sebarang trofi utama.
Real Madrid juga telah melanjutkan kontrak pertahanan tengah, Antonio Rudiger, sehingga 2027 selepas Dani Carvajal dan David Alaba meninggalkan kelab itu sebaik kontrak masing-masing berakhir di Santiago Bernabeu. – AFP