Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Lebih ramai pelajar elit akademik lahir menerusi STPM Sarawak
  • PENDIDIKAN

Lebih ramai pelajar elit akademik lahir menerusi STPM Sarawak

Utusan Sarawak 9 hours ago
TIMBALAN Pengarah Pendidikan Sarawak (Sektor Pengurusan Sekolah), Dr Les Met menyampaikan ucapan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli semasa Majlis Pengumuman dan Apresiasi Keputusan STPM 2025 Peringkat Sarawak di SMK Tun Abang Haji Openg, Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA: Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai antara negeri yang mencatat prestasi memberangsangkan dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) apabila bilangan pelajar cemerlang dan sekolah berprestasi tinggi meningkat pada tahun ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Omar Mahli berkata pencapaian tersebut diterjemahkan menerusi peningkatan jumlah calon yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 kepada 115 pelajar berbanding 92 pelajar pada tahun sebelumnya.

Menurut beliau, lebih membanggakan apabila dua calon yang mengambil lima mata pelajaran berjaya memperoleh gred 5A bagi kesemua mata pelajaran yang diduduki, berbanding tiada calon mencapai kejayaan itu pada STPM 2024.

“Bilangan calon yang memperoleh keputusan 4A turut meningkat daripada 91 pelajar kepada 110 pelajar.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan guru, pelajar, ibu bapa dan seluruh warga pendidikan dalam memastikan kecemerlangan akademik terus dipertingkatkan,” katanya.

TIMBALAN Pengarah Pendidikan (Sektor Pengurusan Sekolah), Dr Les Met (tengah) menyampaikan sijil kecemerlangan kepada salah seorang pelajar cemerlang STPM 2025 pada majlis tersebut.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pengurusan Sekolah), Dr Les Met pada Majlis Pengumuman dan Apresiasi Keputusan STPM 2025 Peringkat Sarawak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abang Haji Openg, hari ini.

Beliau berkata, pencapaian tersebut turut disokong oleh peningkatan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) negeri kepada 2.75 berbanding 2.68 pada tahun lalu.

Dalam pada itu, kadar lulus penuh bagi calon yang mengambil empat dan lima mata pelajaran meningkat kepada 98.71 peratus berbanding 98.16 peratus pada STPM 2024.

Daripada keseluruhan calon yang hadir menduduki peperiksaan, seramai 5,257 pelajar atau 99.96 peratus layak dianugerahkan Sijil STPM 2025.

Menurut Omar, semua 22 mata pelajaran yang ditawarkan di sekolah-sekolah Sarawak mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 60 peratus manakala sembilan mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi berbanding tahun sebelumnya.

KUMPULAN pelajar cemerlang STPM 2025 bergambar bersama sijil kecemerlangan selepas memperoleh keputusan PNGK 4.00 pada Majlis Pengumuman dan Apresiasi Keputusan STPM 2025 Peringkat Sarawak di SMK Tun Abang Haji Openg, Petra Jaya, hari ini.

Katanya, mata pelajaran Perakaunan dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) terus mengekalkan pencapaian 100 peratus lulus penuh, manakala Bahasa Arab merekodkan peningkatan ketara dari segi kadar kelulusan penuh.

Pada peringkat sekolah, sebanyak 14 sekolah berjaya mencapai PNGK 3.00 dan ke atas, manakala 52 daripada 79 sekolah yang menawarkan STPM mencatat peningkatan prestasi berbanding tahun lalu.

Sarawak turut mencipta kejayaan di peringkat kebangsaan apabila Kolej Tingkatan Enam Saratok diiktiraf sebagai Pusat Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi kategori Kolej Tingkatan Enam.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart, Sibu pula menerima pengiktirafan sebagai Pusat Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan bagi kategori Mod 2 dan Mod 3.

Sementara itu, pelajar SMK Methodist, Sibu, Sharifah Nur Hazwani Wan Sapare mengharumkan nama Sarawak apabila dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Kebangsaan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu STPM 2025.

Omar berkata kejayaan berterusan yang dicapai membuktikan sistem pendidikan negeri berada di landasan tepat dalam melahirkan modal insan berkualiti, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan Sarawak pada masa depan.

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Keputusan STPM 2025 catat PNGK nasional tertinggi sejak 2023
Next: 18 pelajar terbaik STPM terima biasiswa Universiti Awam – Fadhlina

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.