Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Korea Selatan boleh juarai Kumpulan A dengan kemenangan ke atas Mexico
  • SUKAN

Korea Selatan boleh juarai Kumpulan A dengan kemenangan ke atas Mexico

Utusan Sarawak 6 hours ago
PENYERANG Son Heung-min dari Korea Selatan melambai ketika menyertai sesi latihan di Chivas Verde Valle, Guadalajara, Mexico, sehari sebelum perlawanan bola sepak Piala Dunia 2026 antara Korea Selatan dan Czech Republic. Foto: AFP

ZAPOPAN: Korea Selatan berpeluang muncul pasukan pertama menjuarai kumpulan pada Piala Dunia FIFA tahun ini sekiranya menewaskan Mexico minggu ini dan dibantu keputusan perlawanan lain, lapor Agensi Berita Yonhap.

Korea Selatan dan Mexico akan berentap dalam aksi Kumpulan A pada Khamis di Estadio Guadalajara di Zapopan, barat Mexico, dengan kedua-dua pasukan mengumpul tiga mata. Mexico, yang menewaskan Afrika Selatan 2-0 minggu lalu, kini mendahului kumpulan menerusi kelebihan perbezaan gol, manakala Korea Selatan berada di tangga kedua selepas menewaskan Republik Czech 2-1 dalam perlawanan pembukaan.

Bagi Korea Selatan, kemenangan ke atas Mexico disusuli kemenangan atau keputusan seri Czech menentang Afrika Selatan pada 9.00 pagi esok (waktu Malaysia) akan memastikan mereka muncul juara Kumpulan A tanpa mengira keputusan perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Afrika Selatan minggu depan.

Dalam senario itu, Korea Selatan akan mengumpul enam mata manakala Mexico kekal dengan tiga mata. Czech pula akan mengutip sama ada tiga mata atau satu mata.

Walaupun Korea Selatan dan Mexico masing-masing menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan enam mata, Korea Selatan tetap memiliki kelebihan berdasarkan kemenangan dalam pertemuan mereka pada 9.00 pagi esok (waktu Malaysia). Rekod pertemuan menjadi penentu pertama jika dua pasukan terikat mata.

PEMAIN Korea Selatan menjalani sesi latihan di Chivas Verde Valle, Guadalajara, Mexico pada 10 Jun 2026, sehari sebelum perlawanan bola sepak Piala Dunia 2026 antara Korea Selatan dan Czech Republic. Foto: AFP

Jika Czech memenangi baki perlawanan mereka, pasukan Eropah itu juga berpeluang menamatkan saingan dengan enam mata, namun Korea Selatan tetap memiliki kelebihan rekod pertemuan selepas menewaskan mereka minggu lalu.

Pasukan dalam Kumpulan A dan Kumpulan B akan mengharungi perlawanan kedua masing-masing pada Khamis lebih awal daripada pasukan lain dalam kejohanan itu. Keempat-empat pasukan Kumpulan B iaitu Switzerland, Kanada, Qatar serta Bosnia dan Herzegovina memulakan kempen dengan keputusan seri, sekali gus menyebabkan tiada pasukan dalam kumpulan itu mampu mengesahkan gelaran juara kumpulan pada Khamis.

Ini bermakna formula “menang ke atas Mexico serta Czech menang atau seri” akan menjadikan Korea Selatan pasukan pertama mengesahkan status juara kumpulan dan seterusnya menempah tempat ke pusingan 32 terbaik.

Sebaliknya, Mexico boleh muncul juara Kumpulan A jika menewaskan Korea Selatan dan pada masa sama Afrika Selatan menang atau seri menentang Czech.

Ini merupakan penampilan ke-12 Korea Selatan di Piala Dunia. Pasukan Taegeuk Warriors mara ke pusingan kalah mati sebanyak tiga kali sebelum ini, termasuk ke separuh akhir pada 2002 serta pusingan 16 terbaik pada 2010 dan 2022.

PEMAIN bola sepak Korea Selatan berlari santai semasa sesi latihan di Verde Valle Training Ground di Zapopan, negeri Jalisco, Mexico untuk persiapan menjelang kejohanan bola sepak Piala Dunia 2026. Foto: AFP

Pada edisi 2002 yang dianjurkan bersama Jepun, Korea Selatan menjuarai kumpulan dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri. Pada 2010 dan 2022, mereka menamatkan saingan sebagai naib juara kumpulan dengan empat mata menerusi satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.

Pada ketiga-tiga kejohanan itu, nasib Korea Selatan hanya ditentukan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Piala Dunia tahun ini merupakan edisi terbesar dalam sejarah dengan penyertaan 48 negara berbanding 32 sebelum ini. Pusingan kalah mati bermula dengan pusingan 32 terbaik.

Dua pasukan teratas daripada setiap 12 kumpulan layak secara automatik, disertai lapan pasukan tempat ketiga terbaik.

Jika Korea Selatan menjuarai Kumpulan A, mereka dijamin bertemu pasukan tempat ketiga daripada Kumpulan C, E, F, H atau I. Dalam keadaan itu, perlawanan pusingan 32 terbaik dan pusingan 16 terbaik akan berlangsung di Mexico City.

Jika Korea Selatan menamatkan saingan sebagai naib juara Kumpulan A, mereka akan menentang naib juara Kumpulan B dalam pusingan 32 terbaik di Los Angeles.

Sekiranya Korea Selatan mara ke pusingan 32 terbaik sebagai antara pasukan tempat ketiga terbaik, mereka akan bertemu sama ada juara Kumpulan E di Boston atau juara Kumpulan G di Seattle. – Bernama

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Bekas jurulatih Brazil Carlos Alberto Parreira dimasukkan ke hospital
Next: Konate sertai Real Madrid dengan kontrak empat tahun

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.