
SIBU: Pasukan PEC Sibu muncul juara Pertandingan Bola Jaring Liga Sukan Komuniti (LSK) Bahagian Sibu 2026 selepas menewaskan pencabar lain dalam kejohanan yang berlangsung di SMK Tiong Hin.
Kejohanan anjuran Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu dengan kerjasama Persatuan Bola Jaring Bahagian Sibu itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pemain bola jaring sekitar Bahagian Sibu.
Pasukan Medi-X pula dinobatkan sebagai naib juara, manakala tempat ketiga bersama menjadi milik pasukan GG dan Venom ILKKM Sibu.


Penganjuran kejohanan tersebut bertujuan menggalakkan penglibatan aktif masyarakat dalam aktiviti sukan di samping memupuk semangat kesukanan, kerjasama berpasukan serta amalan gaya hidup sihat.
Sepanjang pertandingan berlangsung, setiap pasukan mempamerkan aksi bertenaga dan semangat juang yang tinggi dalam usaha merebut kejuaraan.
Kejohanan itu turut menjadi platform terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat menerusi penglibatan aktif dalam aktiviti sukan.
Penganjur berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam sukan bola jaring, sekali gus memperkukuh pembangunan sukan komuniti di Bahagian Sibu.
Oleh Akun Giman