KUCHING: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Sarawak berkunjung ke Pejabat Parol Jabatan Penjara, Kuching bagi menyantuni Orang Yang DiParol (ODP) dalam Program Bantuan Musaadah 2.0 Negeri Sarawak, semalam.
Sebanyak 33 kotak bantuan pek barangan dapur berupa keperluan dapur seperti beras, tepung, bihun, roti bungkus, perisa minuman, gula, kicap dan sos turut disumbangkan.
Sumbangan simbolik tersebut disampaikan Pengarah YADIM Sarawak, Awang Dulhadi Awang Mat kepada Ketua Inspektor Penjara, Zuhainim Sebli serta lima ODP Pejabat Parol.
Dalam pada itu, Awang Dulhadi berkata, kerjasama antara YADIM dan Parol akan terus dijalankan seperti mana yang telah dilaksanakan bagi membantu ODP ini dalam proses pemulihan dari sudut bimbingan agama.
“Dengan keadaan situasi masa ini, ada dalam kalangan masyarakat terutama ODP di sini yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan saya berharap agar bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka,”tambahnya.
Ujar Zuhainim Sebli, Parol akan terus menjalinkan kerjasama program sama ada program yang sedia ada dan penglibatan ODP kepada kemasyarakatan.
“Terima kasih kepada YADIM Sarawak dalam usaha membantu dan menyalurkan sumbangan terutama ODP yang terkesan ketika pendemik Covid-19,”ujarnya.
Di samping itu, pelbagai perancangan program dibincangkan bersama kedua-dua agensi termasuk dari sudut usaha membantu ODP dalam pemulihan diri, penglibatan ODP dengan aktiviti sukarelawan dan menjana pendapat ekonomi dikala mengharungi pendemik wabak Covid-19 berlaku pada ketika ini.
Turut hadir, Inspektor Penjara, Ambrose Kon Ted Wei serta pegawai Parol dan YADIM.
Oleh ‘AINI ‘AFIFAH HAFIZ