KUCHING: Kerajaan bersetuju menerima cadangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menjadikan 15 Mac setiap tahun sebagai Hari Pengguna Kebangsaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, telah tiba masanya sumbangan pengguna diiktiraf dan diraikan di dalam satu tarikh yang khusus dengan mengambil kira kepelbagaian latar belakang pengguna di Malaysia, tidak mengira kaum, agama, jantina dan peringkat umur.
Katanya, tarikh 15 Mac dipilih bersempena dengan sambutan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia atau World Consumer Rights Day yang disambut serentak seluruh dunia setiap tahun anjuran Consumers International sejak 1983.
“Consumers International adalah sebuah organisasi kumpulan pengguna di seluruh dunia yang telah ditubuhkan pada 1 April 1960 dan mempunyai lebih daripada 250 anggota di 120 negara.
“Tahun 2021 adalah tahun yang bersejarah kerana buat pertama kalinya kita menyambut Hari Pengguna Kebangsaan sempena Hari Hak-hak Pengguna Sedunia pada tarikh yang sama.
“Tema yang telah dipilih untuk Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia tahun ini adalah Menangani Pencemaran Plastik. Pencemaran merupakan salah satu isu dan cabaran terbesar yang dihadapi pada masa ini terhasil dari pengurusan buangan yang tidak berhemah dan teratur,” katanya dalam cacatan facebooknya di sini, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan komited dengan gagasan ini dan akan bersama dengan badan dunia untuk menangani pencemaran terutama yang disebabkan oleh plastik melalui pengurangan penggunaan plastik.
“Kerajaan telah pun memulakan advokasi dan peraturan penggunaan plastik guna sekali sejak 2019 dan ini akan diteruskan dan dipertingkatkan sehingga pengguna benar-benar faham dengan bahaya plastik guna sekali kepada kehidupan dan bumi kita.
“Pada masa sama, kementerian akan terus mendidik dan membentuk pengguna sehingga pengguna di Malaysia menjadi entiti yang tahu hak mereka, bijak, bermaklumat, berdaya-upaya dan berani bertindak.
“Selain itu, KPDNHEP juga akan terus mengadakan pelbagai program advokasi bersama agensi kerajaan bagi meningkatkan tahap kesedaran pengguna dan Persatuan Pengguna di negara ini, seiring dengan negara maju yang lain,” jelasnya.
Dalam pada itu, pelbagai program dan aktiviti akan terus dilaksanakan termasuk libat-urus bersama persatuan pengguna di peringkat nasional.
“Indeks Pendayaupayaan Pengguna di Malaysia pada ketika ini berada di peringkat sederhana iaitu 63.1 peratus.
“Justeru, kementerian menyasarkan Indeks Pendayaupayaan Pengguna di Malaysia dapat di tingkatkan melebihi 85 peratus dalam masa dua tahun dan akan terus membantu persatuan pengguna di semua peringkat bagi tujuan tersebut,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO