
KUCHING: Sarawak Water terus mempergiatkan operasi pembersihan saluran paip dan pemantauan lapangan bagi menangani isu bekalan air berwarna atau keruh yang dilaporkan di beberapa kawasan di Bahagian Kuching.
Pelbagai langkah mitigasi telah dilaksanakan secara berterusan sejak awal bulan ini bagi mempercepatkan proses pemulihan dan penstabilan sistem agihan bekalan air.
Hasil pemantauan terkini menunjukkan perkembangan positif apabila keadaan bekalan air di kebanyakan kawasan yang terjejas semakin bertambah baik, manakala jumlah aduan yang diterima turut menunjukkan penurunan berbanding minggu lalu.
Menurut Sarawak Water, masalah air berwarna atau keruh itu dipercayai berpunca daripada gangguan mendapan dan kelodak dalam sistem paip agihan susulan perubahan aliran air serta proses penstabilan sistem bekalan air di beberapa kawasan.
Keadaan tersebut bagaimanapun tidak melibatkan kegagalan proses rawatan air di Loji Rawatan Air Batu Kitang yang terus beroperasi dan dipantau seperti biasa.
Walaupun keadaan keseluruhan menunjukkan pemulihan yang memberangsangkan, operasi pembersihan saluran paip dan pemantauan akan diteruskan sehingga sistem agihan kembali stabil sepenuhnya serta kualiti bekalan air berada pada tahap yang memuaskan.
Sarawak Water turut menegaskan komitmennya untuk memastikan pengguna menerima bekalan air yang berkualiti dan selamat serta menghargai kesabaran dan kerjasama orang ramai sepanjang tempoh pemulihan dijalankan.