Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Ronaldo teruja hadapi Piala Dunia keenam seperti kali pertama, kata Martinez
  • SUKAN

Ronaldo teruja hadapi Piala Dunia keenam seperti kali pertama, kata Martinez

Utusan Sarawak 10 hours ago
CRISTIANO Ronaldo menjalani sesi latihan bersama skuad Portugal di Gardens North County District Park, Palm Beach Gardens, Florida, menjelang aksi Kumpulan K Piala Dunia 2026 menentang Republik Demokratik Congo. Foto AFP

HOUSTON: Jurulatih Portugal, Roberto Martinez, berkata Cristiano Ronaldo sedang membuat persiapan menghadapi Piala Dunia keenamnya dengan semangat yang sama seperti ketika menyertai kejohanan itu buat kali pertama.

Martinez menyifatkan penyerang berusia 41 tahun itu sebagai “contoh dan rujukan kepada dunia bola sepak”, sambil menegaskan Ronaldo masih memainkan peranan penting dalam skuad Portugal yang dianggap antara calon utama untuk menjulang trofi Piala Dunia buat kali pertama.

Kehadiran berterusan pemenang lima kali Ballon d’Or itu dalam pasukan Portugal terus mencetuskan perdebatan mengenai pengaruhnya terhadap pasukan.

JURULATIH Portugal, Roberto Martinez, menyifatkan Cristiano Ronaldo sebagai “contoh teladan” yang wajar diikuti oleh kanak-kanak dan generasi muda. — Foto AFP

Walaupun masih memegang rekod 143 gol antarabangsa, Ronaldo gagal menjaringkan gol dalam sembilan perlawanan terakhirnya di kejohanan utama dan tidak banyak menyumbang ketika pasukan bertahan.

Namun Martinez yakin Ronaldo masih merupakan pilihan terbaik di bahagian serangan.

“Beliau adalah contoh dan rujukan dalam bola sepak. Bagi kanak-kanak yang mula mencintai sukan ini, mengikuti jejak Cristiano Ronaldo adalah sesuatu yang amat baik.

“Ini adalah Piala Dunia keenamnya, tetapi dari segi intensiti, emosi dan kesungguhan untuk memimpin pasukan, beliau seolah-olah sedang menghadapi Piala Dunia pertamanya,” kata Martinez menjelang aksi pembukaan Portugal menentang Republik Demokratik Congo pada jam 1 pagi esok.

Menurutnya, Ronaldo kekal pemain penting kerana kebolehannya menyudah dan mencipta ruang untuk rakan sepasukan.

Sementara itu, kapten Manchester United, Bruno Fernandes, berkata beliau membesar dengan menyaksikan Ronaldo beraksi sejak membantu Portugal mara ke final UEFA Euro 2004 ketika berusia 19 tahun.

“Kami semua dalam pasukan kebangsaan membesar dengan melihat Cristiano Ronaldo bermain. Ia satu penghormatan besar untuk beraksi bersamanya dalam pasukan yang sama.

“Kami semua berada di sini untuk menyokongnya dan membantu Portugal melangkah sejauh mungkin,” katanya.

Impian tidak dilarang

Fernandes, yang baru dinobatkan sebagai pemain terbaik Liga Perdana Inggeris musim ini, mengetuai barisan tengah Portugal yang dianggap antara terkuat di kejohanan.

Antaranya termasuk Vitinha dan Joao Neves yang membantu Paris Saint-Germain menjuarai Liga Juara-Juara Eropah buat kali kedua berturut-turut, selain Bernardo Silva yang dijangka menyertai Real Madrid selepas sembilan tahun penuh kejayaan bersama Manchester City.

“Kami mempunyai pasukan yang sangat kuat dengan kualiti individu yang hebat. Lebih penting, kami juga sebuah pasukan yang bersatu dan saling memahami.

“Sudah tentu impian kami adalah untuk berada di sana (menjuarai Piala Dunia), dan bermimpi bukanlah sesuatu yang dilarang,” kata Fernandes.

Portugal turut diundi bersama Uzbekistan dan Colombia dalam Kumpulan K.

Bagaimanapun, Martinez mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang rendah DR Congo, terutama selepas keputusan mengejut apabila Sepanyol diikat 0-0 oleh Cape Verde dalam perlawanan pembukaan mereka.

“Jika menang ke atas Congo, itu dianggap perkara biasa. Jika menang tipis, ia menjadi masalah. Jika seri, ia dianggap bencana. Jika kalah, seolah-olah dunia sudah berakhir.

“Mereka datang tanpa tekanan dan menikmati peluang berada di sini. Kita sudah melihat beberapa persembahan hebat daripada pasukan seperti Qatar dan Cape Verde. Tiada perlawanan mudah dalam Piala Dunia,” katanya.

Martinez turut mengesahkan beliau akan meninggalkan jawatan jurulatih Portugal selepas tamat Piala Dunia apabila kontraknya berakhir.

“Kontrak saya berakhir selepas Piala Dunia. Ini bukan berita baharu, hanya satu fakta.

“Kami kini fokus untuk menamatkan tugas yang dimulakan tiga setengah tahun lalu. Apabila saya datang ke Portugal, matlamatnya adalah untuk memenangi segala-galanya, tetapi yang paling penting ialah membuat persiapan terbaik untuk Piala Dunia,” katanya. – AFP

Continue Reading

Previous: Austria raih kemenangan Piala Dunia ke atas pendatang baharu Jordan
Next: Piala Dunia: Aksi hatrik Lionel Messi dibayangi kontroversi kad merah 

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.