

SIBU: Orang ramai dinasihatkan supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan, termasuk Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) sekiranya ternampak kelibat buaya di kawasan perumahan, parit atau lokasi berhampiran penempatan penduduk.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie berkata, orang ramai perlu mengekalkan jarak yang selamat dan berundur secara perlahan-lahan sekiranya terserempak dengan reptilia tersebut.
“Jika keadaan mengizinkan, ambil gambar atau catat lokasi kejadian untuk tujuan laporan, namun jangan sesekali menghampiri buaya semata-mata untuk mendapatkan gambar yang lebih jelas.
“Maklumkan segera kepada pihak berkuasa berkaitan seperti SFC untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.
Menurutnya, orang awam tidak seharusnya mendekati atau cuba menangkap buaya walaupun haiwan itu kelihatan kecil atau tidak bergerak.
Katanya, penduduk juga perlu menjauhkan diri daripada tebing parit, sungai atau kawasan berair kerana buaya boleh muncul secara tiba-tiba dan mengancam keselamatan.
“Orang ramai juga diingatkan supaya tidak memberi makan kepada buaya kerana tindakan itu boleh menyebabkan haiwan tersebut menjadi semakin berani menghampiri kawasan penempatan manusia.
“Kanak-kanak tidak boleh dibiarkan bermain berhampiran parit atau longkang besar tanpa pengawasan, manakala haiwan peliharaan perlu dikawal agar tidak berkeliaran di kawasan berisiko seperti parit dan sungai,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan aktiviti air seperti mandi, memancing atau mencuci di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi.
Dalam pada itu, Andy menggesa penduduk mengambil langkah pencegahan dengan memastikan persekitaran rumah sentiasa bersih serta tidak meninggalkan sisa makanan berhampiran sungai atau kawasan rumah yang boleh menarik perhatian buaya.
Selain itu, katanya, laluan masuk seperti parit perlu ditutup atau dihalang jika sesuai, manakala pencahayaan yang mencukupi perlu dipasang di kawasan gelap berhampiran longkang atau sungai.
“Sebarang kesan kehadiran buaya seperti tapak kaki atau tanda seretan hendaklah dilaporkan segera kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan pemantauan dan kawalan dilaksanakan,” katanya.
Terdahulu, kehadiran seekor buaya di parit kawasan perumahan Permai Jaya di sini yang tular di media sosial semalam telah menarik pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.
Oleh Akun Giman