
BINTANGOR: Semangat perpaduan dan kerjasama yang menjadi tunjang keharmonian masyarakat Sarawak perlu terus dipelihara seiring usaha mengekalkan warisan budaya yang diwarisi turun-temurun.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, tradisi masyarakat pelbagai kaum di Sarawak merupakan aset berharga yang perlu dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Katanya, sambutan Hari Gawai bukan sahaja menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat, malah mencerminkan semangat perpaduan yang telah lama menjadi kekuatan rakyat Sarawak.
Baru-baru ini, beliau telah menghadiri upacara Ngetas Ranyai dan Ngiling Tikai yang diadakan di Rumah Bujang dan Rumah Rami serta lawatan ke beberapa rumah panjang.
Kedua-dua upacara tradisional itu merupakan antara adat resam penting dalam sambutan Hari Gawai yang mencerminkan kekayaan budaya masyarakat Iban dan nilai kekeluargaan yang terus dipelihara.


“Kita perlu memastikan tradisi seperti upacara Ngetas Ranyai dan Ngiling Tikai terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi seterusnya.
“Budaya yang kuat akan melahirkan masyarakat yang mempunyai jati diri yang kukuh,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok.
Lawatan turun padang ke beberapa rumah panjang memberi peluang untuk beliau melihat sendiri semangat kebersamaan yang diamalkan oleh penduduk rumah panjang yang sentiasa hidup dalam suasana harmoni dan saling membantu antara satu sama lain.
Tambahnya, nilai perpaduan yang diterapkan dalam kehidupan masyarakat rumah panjang wajar dijadikan contoh kerana ia menjadi asas kepada kestabilan dan kemajuan sesebuah komuniti.
“Semangat saling menghormati dan membantu antara satu sama lain perlu terus dipelihara agar generasi akan datang dapat menikmati keamanan dan kestabilan yang kita capai hari ini.
“Sambutan Hari Gawai yang diraikan dalam suasana penuh kemeriahan dan muhibah membuktikan bahawa perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak terus kukuh dan menjadi kekuatan utama negeri ini,” katanya.
Tiong Sii turut merakamkan penghargaan kepada penduduk rumah panjang yang menyambut kehadiran beliau dengan penuh mesra serta mengekalkan amalan budaya dan adat resam yang menjadi identiti masyarakat Iban.
Katanya, pendekatan turun padang akan terus dilaksanakan bagi membolehkan beliau mendengar sendiri pandangan rakyat dan memahami keperluan masyarakat di kawasan Parlimen Sarikei.
Antara kawasan yang dikunjungi sepanjang siri lawatan tersebut ialah Sungai Petai, Skim B, Sungai Lelabi, Sungai Bakong, Sungai Pidi dan Sungai Meradong.
Oleh Earl Anek