Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Dua gol Haaland bantu Norway tewaskan Iraq dalam aksi pembukaan Piala Dunia
  • SUKAN

Dua gol Haaland bantu Norway tewaskan Iraq dalam aksi pembukaan Piala Dunia

Utusan Sarawak 14 hours ago
ERLING Haaland #9 dari Norway diasak oleh Zaid Tahseen #4 dari Iraq semasa perlawanan Kumpulan I Piala Dunia FIFA 2026 antara Iraq dan Norway di Stadium Boston sebentar tadi di Foxborough, Massachusetts. Foto AFP

FOXBOROUGH, Amerika Syarikat: Erling Haaland menjaringkan gol pertamanya di pentas Piala Dunia apabila meledak dua gol untuk membantu Norway menewaskan Iraq 4-1 sebentar tadi dalam penampilan pertama mereka di kejohanan utama selepas 26 tahun.

Penyerang Manchester City itu membuka jaringan buat Norway pada minit ke-29 di Boston menerusi penyudah jarak dekat, namun tandukan Aymen Hussein berjaya menyamakan kedudukan untuk Iraq.

Haaland kemudian memanfaatkan kesilapan benteng pertahanan Iraq untuk mengembalikan kelebihan Norway sebelum tamat babak pertama, sekali gus meningkatkan jumlah jaringannya di peringkat antarabangsa kepada 57 gol daripada hanya 51 perlawanan.

Leo Ostigard menambah gol ketiga Norway menerusi tandukan sejurus selepas dimasukkan sebagai pemain gantian, sekali gus hampir mengesahkan kemenangan pasukannya. Norway melengkapkan kemenangan 4-1 menerusi gol sendiri Hussein pada masa kecederaan.

Kemenangan itu meletakkan Norway di tangga teratas Kumpulan I berdasarkan perbezaan gol, berkongsi tiga mata dengan Perancis yang menewaskan Senegal 3-1 lebih awal. Norway akan berdepan gergasi Afrika itu dalam perlawanan seterusnya di New Jersey pada 22 Jun (waktu tempatan).

Tiada pasukan yang melalui laluan lebih panjang dan mencabar ke Piala Dunia berbanding Iraq, yang mengesahkan tempat sebagai pasukan ke-48 dan terakhir layak ke kejohanan itu pada Mac selepas mengharungi kempen kelayakan selama 867 hari merangkumi 21 perlawanan.

Hussein, yang menjaringkan gol kemenangan dalam aksi play-off menentang Bolivia, turut berdepan cabaran apabila ditahan dan disoal siasat selama beberapa jam oleh pegawai imigresen Amerika Syarikat sebaik tiba bersama skuad Iraq menjelang penampilan pertama negara itu di Piala Dunia sejak 1986.

KRISTIAN Thorstvedt #18 dari Norway meraikan kemenangan bersama Erling Haaland #9 selepas kemenangan 4-1 dalam perlawanan Kumpulan I Piala Dunia FIFA 2026 antara Iraq dan Norway di Stadium Boston sebentar tadi di Foxborough, Massachusetts. Foto AFP

Norway pula kali terakhir beraksi di Piala Dunia pada 1998, ketika jurulatih Stale Solbakken merupakan anggota skuad yang mencipta kejutan menewaskan Brazil di peringkat kumpulan sebelum tersingkir pada pusingan 16 terbaik. Beliau turut mewakili negaranya pada Euro 2000.

Selepas mempamerkan aksi meyakinkan dalam kempen kelayakan, termasuk membelasah Itali sebanyak dua kali, Norway kini menaruh harapan kepada generasi emas mereka yang diterajui Haaland dan pemain tengah Arsenal, Martin Odegaard, untuk mencipta sejarah baharu di Amerika Utara.

Solbakken sebelum ini meramalkan Haaland akan memberikan impak besar dalam penampilan sulungnya di kejohanan utama, dan bintang Manchester City itu tidak mengambil masa lama untuk membuktikannya.

Kelincahan Antonio Nusa sering menimbulkan masalah kepada pertahanan Iraq, sebelum hantaran tepatnya membebaskan David Moller Wolfe di sebelah kiri. Haaland kemudian meregangkan badan untuk menyudahkan hantaran lintang rendah itu dan meletakkan Norway di hadapan.

Bagaimanapun, Iraq tidak mudah mengalah dan berjaya menyamakan kedudukan 10 minit kemudian.

Amir Al-Ammari berjaya mencipta ruang di dalam kotak penalti sebelum melorongkan hantaran silang yang disambut Hussein dengan tandukan padu menewaskan penjaga gol Norway, Orjan Nyland.

Namun, Iraq menghadiahkan gol kedua kepada Haaland hasil kesilapan sendiri.

Penjaga gol Jalal Hassan lambat bertindak terhadap hantaran lemah rakan sepasukan ke arahnya. Percubaan beliau untuk mengeluarkan bola terkena tulang kering Haaland sebelum melantun masuk ke gawang.

LEO Ostigard #4 dari Norway menjaringkan gol ketiga pasukannya semasa perlawanan Kumpulan I Piala Dunia FIFA 2026 antara Iraq dan Norway di Stadium Boston sebentar tadi di Foxborough, Massachusetts. Foto AFP

Iraq sekali lagi memberi saingan sengit apabila Ibrahim Bayesh dinafikan oleh terjahan terakhir pertahanan Norway, manakala percubaan Ali Al-Hamadi tersasar dan voli menarik Akam Hashim hanya sedikit melepasi palang gol.

Ostigard kemudian menanduk masuk sepakan penjuru Odegaard pada minit ke-76 untuk mengesahkan kemenangan Norway.

Haaland hampir melengkapkan hatrik apabila sekali lagi berpeluang berdepan Hassan hasil kesilapan hantaran lawan, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Iraq itu.

Walaupun gagal mencatat hatrik, Haaland tetap memainkan peranan dalam gol keempat Norway apabila tandukannya melambung ke arah pintu gol terkena Hussein sebelum melintasi garisan gol untuk dicatat sebagai gol sendiri.– AFP

Continue Reading

Previous: Mbappe buru rekod Piala Dunia selepas pecah rekod jaringan Perancis
Next: Messi jadi pemain pertama main enam edisi Piala Dunia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.