BAU: Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Sarawak dijangka bermula bulan hadapan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata fasa kedua itu akan dijalankan secara besar-besaran kerana ia melibatkan vaksinasi terhadap dua juta rakyat Sarawak yang bersetuju dan layak.
“Fasa kedua akan bermula pada April dan semua penduduk yang berusia 18 tahun ke atas termasuk warga asing yang berada di Sarawak sama ada sah atau tidak sah akan dipastikan menerima vaksin Covid-19.
“Selain itu, Ketua Menteri turut menyediakan dana untuk mendapatkan vaksin Covid-19 sebagai langkah menghadapi sebarang kemungkinan berkaitan masalah bekalan vaksin.
“Perancangan kita adalah berdasarkan jumlah vaksin yang dibekalkan dan oleh yang demikian, dalam masa yang sama Ketua Menteri telah menyediakan dana untuk membolehkan Sarawak membeli vaksin sekiranya ada masalah timbul bekaitan pembekalan vaksin,” jelasnya.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata demikian ketika ditemui setelah meninjau bilik operasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Triggus di Bau, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Uggah berkata, Sarawak mengungguli kedudukan teratas dalam program vaksinasi untuk fasa pertama yang dikhaskan kepada petugas barisan hadapan.
Menurut beliau program vaksinasi fasa pertama di Sarawak mengatasi negeri lain.
“Program vaksinasi fasa pertama di Sarawak yang dikhaskan untuk petugas barisan hadapan mengatasi negeri lain.
“Ini membuktikan jentera dan sistem pemvaksinan kita berkesan dan Sarawak mensasarkan program pemvaksinan imunisasi Covid-19 dapat dicapai sepenuhnya pada penghujung bulan Ogos depan,” ujarnya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA