

LUBOK ANTU: Paras air yang semakin meningkat telah menyebabkan Jalan Nanga Kumpang ditenggelami banjir sehingga tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Lubok Antu, Leftenan Samuel Desem, berkata hasil pemantauan yang dijalankan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pada 9.54 pagi tadi mendapati paras air telah meningkat sehingga 1.0 meter dan melimpahi keseluruhan laluan jalan raya berkenaan.
“Keadaan semasa menunjukkan trend paras air terus meningkat dengan arus berada pada tahap sederhana hingga deras.
“Laluan Jalan Nanga Kumpang kini tidak dapat dilalui oleh kenderaan berat mahupun ringan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Leftenan Desem berkata, pasukan pemantauan yang terdiri daripada tiga anggota APM telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan tinjauan serta memastikan keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.
Menurut beliau, orang ramai dinasihatkan supaya tidak meredah kawasan yang dinaiki air kerana tindakan tersebut boleh mengundang risiko kemalangan dan mengancam keselamatan nyawa.
“Pengguna jalan raya yang ingin ke Engkilili atau Lubok Antu disarankan menggunakan Jalan Sayat sebagai laluan alternatif dan mengelakkan penggunaan Jalan Nanga Kumpang yang masih dilimpahi air banjir,” katanya.
APM turut memaklumkan bahawa pemantauan berterusan sedang dijalankan bagi menilai perkembangan situasi semasa dan memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya keadaan bertambah buruk.
Orang awam yang memerlukan bantuan kecemasan boleh menghubungi talian NG999 atau Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Lubok Antu di talian 083-584639.
Maklumat pemantauan adalah berdasarkan rujukan daripada MetMalaysia, iHYDRO dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak.
Oleh Adi Safarman