Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • 29 institusi, tujuh agensi sertai Pameran Pendidikan dan Ekspo Kerjaya SUPP
  • PENDIDIKAN

29 institusi, tujuh agensi sertai Pameran Pendidikan dan Ekspo Kerjaya SUPP

Utusan Sarawak 4 hours ago
POSTER rasmi Pameran Pendidikan dan Ekspo Kerjaya kerajaan Sarawak di Ibu Pejabat SUPP, Kuching. 

KUCHING: 29 institusi pendidikan dan tujuh agensi kerajaan Sarawak akan berhimpun di bawah satu bumbung menerusi edisi ke-2 Pameran Pendidikan dan Ekspo Kerjaya kerajaan Sarawak di Ibu Pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Jalan Tan Sri Ong Kee Hui di sini pada 20 Jun depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Lo Khere Chiang berkata, program anjuran Pemuda SUPP N.13 Batu Kitang itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar dan lepasan sekolah mengenai peluang pendidikan serta kerjaya yang tersedia di Sarawak.

Jelasnya, inisiatif tersebut selari dengan usaha kerajaan Sarawak memperkasakan pendidikan dan memastikan lebih ramai anak Sarawak mendapat akses kepada maklumat mengenai laluan pengajian serta pembangunan kerjaya.

“Melalui program ini, kita mahu golongan muda mengetahui peluang yang tersedia menerusi institusi pendidikan dan agensi kerajaan supaya mereka dapat merancang masa depan dengan lebih baik,” katanya.  

Beliau berkata demikian ketika sidang media Pameran Pendidikan dan Ekspo Kerjaya kerajaan Sarawak di Ibu Pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Jalan Tan Sri Ong Kee Hui di sini, hari ini. 

Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Amy Chong berkata pameran berkenaan bukan sahaja memfokuskan laluan akademik, tetapi turut mengetengahkan pendidikan berasaskan kemahiran sebagai pilihan kepada pelajar.

“Peserta boleh mendapatkan maklumat mengenai program pengajian, syarat kemasukan, biasiswa, bantuan kewangan dan prospek kerjaya.

“Kami mahu memberi ruang kepada semua pelajar, bukan hanya yang cemerlang akademik, tetapi juga mereka yang berminat dalam bidang kemahiran seperti automotif dan teknikal,” ujarnya.

Pameran tersebut bakal menghimpunkan universiti, kolej dan institusi latihan kemahiran, selain menampilkan Ekspo Kerjaya kerajaan Sarawak yang memberi peluang kepada pengunjung berinteraksi secara langsung dengan agensi kerajaan negeri.

Antara institusi yang terlibat ialah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Curtin, Universiti UCSI Kuching, Universiti Kolej ICATS, Universiti Teknologi Mara (UTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak serta Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS).

Turut serta Yayasan Sarawak dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang memberi penerangan mengenai bantuan pendidikan.

Bagi komponen ekspo kerjaya pula, antara agensi terlibat ialah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Jabatan Tanah dan Survei, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Agensi Pembangunan Wilayah Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui (RECODA), Akademi Kastam Diraja Malaysia serta Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan.

Program itu berlangsung dari 10.00 pagi hingga 3.00 petang dan terbuka kepada pelajar, lepasan sekolah serta orang awam, dengan jangkaan kehadiran 200 hingga 300 pengunjung.

Oleh Adele Rissa

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Sarawak galak penglibatan guru STEM melalui insentif ICT dan pengekodan
Next: KPM sasar tingkat enrolmen sekolah menengah lepasi 95 peratus

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.