Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Pengembaraan awal orang Barat ke Borneo
  • KOLUMNIS

Pengembaraan awal orang Barat ke Borneo

Utusan Sarawak 4 hours ago

DARI segi sejarahnya, Pulau Borneo merupakan salah satu pulau yang penting dalam aspek perdagangan. Ramai pedagang dari luar mengunjungi pulau ini. Antara yang datang ke Borneo untuk tujuan perdagangan ini adalah orang di Alam Melayu sendiri.

Selain itu, pedagang dari China turut hadir bagi menjalinkan hubungan dagang dengan pulau tersebut. Sementara itu, interaksi awal antara pulau ini dengan kuasa Barat agak terlewat kerana aktiviti pelayaran komuniti Barat masih terbatas di Lautan Mediterranean, terutamanya dalam kalangan masyarakat Yunani dan Rom.

Meskipun orang Rom pernah berlayar hingga ke India dan kaum Viking mempelopori pengembaraan di Atlantik Utara, impak pelayaran mereka masih belum mencecah perairan Borneo pada zaman berkenaan.

Interaksi antara dunia Barat dengan rantau luar hanya mula berkembang rancak impak daripada cetusan Zaman Penjelajahan (Age of Discovery) di Eropah. Dalam fasa ini, kerajaan Portugis muncul sebagai pelopor yang menerajui ekspedisi pelayaran ke benua Afrika dan Asia.

Pelayar awal

Bagaimanapun, wujud catatan yang menunjukkan bahawa jangkauan pengembara Barat ke Borneo telah berlaku lebih awal sebelum bermulanya Zaman Pelayaran.

Tokoh yang dimaksudkan ialah biarawan (friar) Odoric of Pordenone, seorang mubaligh Franciscan. Tujuan pengembaraan beliau ini lebih kepada usaha ke China dan berjumpa dengan pemerintah Dinasti Yuan.

Dalam perjalanan tersebut beliau singgah di beberapa tempat di Alam Melayu termasuk Borneo. 

Pengembaraan beliau yang berlangsung sekitar tahun 1322 merangkumi persinggahan di beberapa pulau di Alam Melayu. Dalam catatannya yang terkandung dalam Itinerarium atau Relatio, beliau menyebut sebuah tempat di Borneo yang dikenali sebagai Thalamasin.

LAKARAN AI semata-mata.

Rujukan ini lazimnya dikaitkan dengan Kerajaan Banjarmasin di bahagian selatan Borneo. Walaupun catatan tersebut tidak memberi maklumat yang mendalam mengenai wilayah berkenaan, ia membuktikan bahawa Borneo telah muncul dalam rekod pengembaraan Eropah seawal abad ke-14.

Seterusnya seorang lagi pengembara Barat pernah melakukan pengembaraan ke Alam Melayu termasuk ke Borneo adalah Ludovico Berthema of Bologna. 

Beliau telah melakukan lawatan antara tahun 1503 dan 1507. Dalam catatan ini, beliau menamakan sebuah kawasan yang dilawati di Alam Melayu sebagai Bornei yang dikaitkan dengan Borneo.

Terdapat pendapat mengatakan perkataan Bornei satu gelincir kata. Ada yang mengatakannya Boni di Sulawesi dan ada juga mengaitkannya dengan Buton.

Catatan beliau tentang Bornei ini berkenaan penduduknya yang berkulit lebih cerah daripada penduduk-penduduk yang ditemui sebelum ini. Penduduknya dianggap sebagai orang yang baik dan belum menganut apa-apa agama atau pagan. 

Penduduk pulau ini memakai baju kain kapas, dan ada sebahagiannya berpakaian camelot (sejenis kain bulu yang halus). Sesetengah daripada penduduk pula memakai topi berwarna merah.

Pulau ini mempunyai sistem pentadbiran dan undang-undang adat yang tersusun bagi menjaga keamanan, keselamatan pedagang dan kestabilan pasaran. 

Hasil utama pulau ini adalah kapur barus yang dieksport ke luar negara. Pokok-pokok kapur barus ini juga tumbuh banyak di pulau tersebut. Lawatan kedua-dua pengembara ini tidak memberi kesan besar kepada pengetahuan orang Barat ke atas Pulau Borneo.

Mengenali

Lawatan pelayar Portugis, Lorenzo de Gomez, ke Brunei pada tahun 1518 memperlihatkan bahawa orang Barat telah mula memiliki pengetahuan yang lebih mendalam tentang Borneo.

Perkembangan ini disusuli oleh ekspedisi pelayaran Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinand Magellan ke arah timur. Berbeza dengan laluan pelayaran tradisional yang melalui Tanjung Harapan di Afrika, Magellan memilih laluan baharu merentasi Benua Amerika dan Lautan Pasifik sebelum tiba di Alam Melayu.

Pendekatan ini membuka satu dimensi baharu dalam penerokaan maritim Eropah pada awal abad ke-16.

Namun demikian Magellan telah terbunuh pada 27 April 1521 di Pulau Machan, manakala rombongan beliau meneruskan perjalanan ke Borneo.

Antonio Pigafetta seorang penulis berbangsa Itali yang mengikuti ekspedisi ini telah mencatat pengembaraan itu sampai ke Brunei. Sebelum sampai ke Brunei pada Julai 1521, beliau telah memberi gambaran tentang Gunung Kinabalu yang dinamakan oleh beliau sebagai St. John.

Terapung

Semasa berada di Brunei, Antonio Pigafetta telah mencatatkan beberapa pemerhatian penting mengenai keadaan negeri tersebut. Antaranya, beliau merekodkan kewujudan penempatan penduduk yang dibina di atas air atau kampung air yang tersusun dan berkembang dengan baik.

Selain itu, beliau menganggarkan jumlah penduduk Brunei mencecah kira-kira 25,000 keluarga. Pigafetta turut mencatatkan bahawa kegiatan perdagangan merupakan antara aktiviti ekonomi utama masyarakat Brunei.

Ketika air pasang, penduduk menjalankan urusan perdagangan menggunakan perahu, manakala aktiviti jual beli turut berlangsung di pasar terapung yang menjadi pusat pertemuan para pedagang dan penduduk tempatan.

Selepas itu diikuti pula seorang lagi wakil Portugis yang singgah ke Brunei iaitu Jorge de Menezes, pada 1526. Beliau diikuti oleh seorang lagi wakil Portugis iaitu Goncalo Perira yang datang ke Brunei pada tahun 1530.

Kedatangan wakil-wakil Portugis ini menunjukkan usaha Portugis untuk memperkukuhkan kedudukan mereka dalam aspek perdagangan dengan Brunei. 

Penguasaan

Kehadiran kuasa Portugis di utara Borneo ini dicurigai oleh Belanda. Mereka juga mula berfikir untuk menamatkan penguasaan perdagangan Portugis di Borneo. 

Dalam hal ini, seorang pedagang Belanda iaitu Oliver Van Noort memulakan usaha menjalinkan hubungan dengan Brunei. Beliau berusaha membuka hubungan perdagangan dengan Brunei apabila tiba di negara tersebut pada tahun 1600.

Dalam catatannya yang terkandung dalam Historische Beschrijvingder Reize, beliau memberikan gambaran mengenai penduduk Borneo yang disifatkannya sebagai masyarakat yang tegap, berbadan sasa dan mempunyai tahap kecerdasan yang baik.

Menurut beliau, lelaki dan wanita di Borneo mempunyai warna kulit perang seperti masyarakat India yang lain.

Bagaimanapun, mereka tidak mempunyai pakaian yang seragam kerana cara pemakaian mereka berbeza-beza mengikut individu. Pakaian mereka lazimnya terdiri daripada helaian kain yang dililit atau dipakai dalam pelbagai gaya untuk menutupi tubuh badan.

Beliau turut mencatatkan bahawa hampir semua penduduk memakai serban yang diperbuat daripada kain kapas halus.

Namun demikian, pengembaraan orang Barat tidak terhenti setakat itu sahaja. Perkembangan seterusnya menyaksikan kehadiran kapal-kapal perang yang mengiringi aktiviti penerokaan dan pelayaran mereka.

Fenomena ini menandakan perubahan daripada sekadar usaha penjelajahan kepada pengembangan pengaruh politik dan ketenteraan.

Perbincangan mengenai perkara tersebut akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam wacana seterusnya.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: PRN: Sarawak tidak perlu ikut ‘rentak tari’ negeri lain
Next: Syarikat penerbangan perlu asas pengurusan, kewangan, operasi dan keyakinan penumpang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.