Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Belgium dan Mesir seri 1-1 dalam aksi Kumpulan G Piala Dunia
  • SUKAN

Belgium dan Mesir seri 1-1 dalam aksi Kumpulan G Piala Dunia

Utusan Sarawak 8 hours ago
PEMAIN Belgium, Leandro Trossard (10), melakukan hantaran lintang semasa perlawanan Kumpulan G Piala Dunia FIFA 2026 antara Belgium dan Mesir di Stadium Seattle pada 15 Jun 2026 di Seattle, Washington. Foto AFP

SEATTLE, Amerika Syarikat: Belgium dan Mesir terikat 1-1 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan G Piala Dunia sebentar tadi selepas gol penyamaan Belgium pada babak kedua menjejaskan sambutan ulang tahun ke-34 Mohamed Salah.

Emam Ashour meletakkan Mesir di hadapan pada awal babak pertama di Seattle sebelum Romelu Lukaku, yang dimasukkan sebagai pemain gantian selepas sejam permainan, memaksa Mohamed Hany menjaringkan gol sendiri.

Keputusan seri itu menyaksikan juara tujuh kali Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), Mesir, masih menanti kemenangan pertama mereka di pentas Piala Dunia.

Ini merupakan penyertaan keempat Mesir dalam kejohanan berprestij itu. Dengan baki perlawanan Kumpulan G menentang Iran dan New Zealand, mereka berharap dapat menamatkan badi tanpa kemenangan di Amerika Utara.

PEMAIN Mesir, Mohamed Hany (3), memberikan tepukan penghargaan kepada penyokong selepas keputusan seri 1-1 dalam perlawanan Kumpulan G Piala Dunia FIFA 2026 antara Belgium dan Mesir di Stadium Seattle pada 15 Jun 2026 di Seattle, Washington. Foto AFP

Bagi Belgium pula, kejohanan kali ini mungkin peluang terakhir buat saki-baki generasi emas mereka untuk memperbaiki pencapaian tempat ketiga yang diraih di Rusia lapan tahun lalu dan akhirnya menjulang trofi utama.

Pemain berpengalaman seperti Kevin De Bruyne, Thibaut Courtois dan Lukaku masih menjadi tonggak utama skuad kendalian Rudi Garcia.

Dengan tumpuan terarah kepada Salah dan De Bruyne, bekas pemain tengah Manchester City itu mencipta peluang pertama perlawanan apabila percubaannya pada minit ketujuh hanya tersasar tipis di sebelah gawang.

KETUA jurulatih Belgium, Rudi Garcia, dan pemain Belgium, Leandro Trossard (10), memberikan reaksi selepas keputusan seri 1-1 dalam perlawanan Kumpulan G Piala Dunia FIFA 2026 antara Belgium dan Mesir di Stadium Seattle pada 15 Jun 2026 di Seattle, Washington. Foto AFP

Namun begitu, Ashour mencuri tumpuan sebelum rehat minum apabila menerima hantaran di posisi hampir sama seperti De Bruyne sebelum melepaskan rembatan padu yang gagal diselamatkan Courtois dan menerjah penjuru kanan bawah gawang.

Gol itu merupakan kali kedua dalam sejarah Mesir mendahului dalam perlawanan Piala Dunia selepas Salah membuka jaringan ketika pasukannya tewas 2-1 kepada Arab Saudi pada 2018.

De Bruyne hampir menyamakan kedudukan pada awal babak kedua menerusi sepakan percuma jarak dekat, namun bola hanya mengenai bahagian luar tiang gol.

Salah kemudian mencipta ancaman di hujung padang yang satu lagi apabila berjaya menyusup masuk ke dalam kotak penalti, namun tandukannya ditepis Courtois sebelum Ashour gagal menyempurnakan peluang susulan.

Permainan menjadi lebih terbuka apabila kedua-dua pasukan saling mengasak dan hampir menjaringkan gol, termasuk menerusi satu voli kaki kiri menarik oleh kapten Belgium, Youri Tielemans.

PEMAIN Mesir, Omar Marmoush (22), melepaskan rembatan sambil diasak pemain Belgium, Brandon Mechele (4), dalam perlawanan Kumpulan G Piala Dunia FIFA 2026 antara Belgium dan Mesir di Stadium Seattle pada 15 Jun 2026 di Seattle, Washington. Foto AFP

Pada minit ke-65, Garcia membuat keputusan memasukkan Lukaku dan pertukaran itu segera membuahkan hasil.

Penyerang prolifik Belgium itu mempamerkan naluri penjaringnya apabila menerjah masuk untuk menyambut hantaran silang Thomas Meunier. Kehadirannya sudah cukup untuk mengganggu Hany sehingga pertahanan Mesir itu tertolak bola ke dalam gawang sendiri.

Salah dikeluarkan ketika perlawanan berbaki 15 minit apabila Mesir cuba mempertahankan kedudukan, namun mereka akhirnya berjaya bertahan untuk membawa pulang satu mata berharga. — AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Cape Verde lakar kejutan, ikat gergasi Eropah
Next: Uruguay kecewa sekadar seri dengan Arab Saudi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.