
BINTULU: Dua lelaki cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebatang pokok di tepi Jalan Kidurong, petang tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 4.42 petang sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong ke lokasi.
Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati pemandu dan penumpang kenderaan terbabit tersepit di dalam kenderaan akibat kemalangan berkenaan.

“Pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa dari kenderaan.
“Kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan kemudiannya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi ditamatkan pada 5.20 petang selepas kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan dan keadaan di lokasi disahkan selamat serta terkawal.
Oleh Carolyne Utih