Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Siapa mampu ganti jika Beasley pergi? – Azizulhasni
  • SUKAN

Siapa mampu ganti jika Beasley pergi? – Azizulhasni

Utusan Sarawak 4 hours ago
JAGUH berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang, bercakap semasa sesi “Fireside Chat” yang diadakan bersempena pelancaran Kempen Moving You Forward di Menara CIMB hari ini. Foto AFP

KUALA LUMPUR: “Andai John Beasley tidak lagi menerajui skuad negara, persoalannya siapakah yang mampu menggantikan tempat beliau? Bukan tidak percaya kepada bakat tempatan, namun kita perlu jujur bahawa kita belum mencapai tahap itu lagi.

“Demikian reaksi jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang, yang menyuarakan kebimbangan sekiranya Pengarah Teknikal Program Berbasikal Negara itu membuat keputusan meninggalkan pasukan susulan beberapa kemelut yang melanda arena berbasikal negara.

Menurut pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu, kehilangan Beasley bukan sekadar kehilangan seorang jurulatih, sebaliknya merupakan kerugian besar kepada pembangunan sukan berbasikal negara memandangkan kepakaran serta kredibiliti dimiliki beliau berada pada kelas tersendiri dan sukar dicari ganti dalam masa terdekat.

“Saya sangat sensitif apabila bercakap mengenai Beasley kerana beliau adalah mentor kepada kami semua. Beliau bukan jurulatih tipikal, malah pendekatannya melangkaui tugas di litar.

“Malah, beliau amat menitikberatkan kebajikan atlet dan menganggap kami seperti keluarga sendiri,” katanya kepada Bernama selepas menerima anugerah ‘Kita Bagi Jadi Hero’ daripada CIMB Group Holdings Berhad, hari ini.

Terdahulu, CIMB melancarkan kempen jenama baharu, ‘Moving You Forward’, sebagai usaha memperkukuh komitmen dalam memperkasa pelanggan, perniagaan dan komuniti di seluruh rantau ASEAN.

Mengulas lanjut, Azizulhasni berkata antara punca kekecewaan Beasley ialah apabila perancangan taktikal serta program yang disusun rapi sering tidak diendahkan atau menerima tentangan daripada pihak tertentu.

“Sebagai orang dalam, saya tahu betapa keras beliau bekerja. Walaupun pada hari cuti, beliau sentiasa merancang program dan memikirkan pembangunan atlet. Namun, beliau kecewa apabila perancangannya tidak diikuti atau ditentang oleh pihak tertentu,” katanya.

Menyentuh isu pertindihan jadual antara Sukan Malaysia (SUKMA) dan Kejohanan Dunia Remaja, Azizulhasni berpandangan keputusan tidak melepaskan atlet muda untuk menyertai kejohanan peringkat dunia perlu dinilai semula demi perkembangan kerjaya mereka pada masa depan.

Sehubungan itu, beliau berkata semua pihak termasuk Majlis Sukan Negara (MSN) perlu duduk semeja bagi mencari jalan penyelesaian terbaik demi masa depan generasi baharu sukan berbasikal negara.

“Komunikasi sangat penting supaya jadual tidak bertembung. Kita tidak mahu menuding jari, sebaliknya mencari penyelesaian terbaik. Jika kita terus leka dengan isu dalaman seperti ini, negara lain akan memintas kedudukan Malaysia,” tegasnya.

Sebelum ini, media melaporkan Beasley dijangka meninggalkan jawatannya pada penghujung tahun ini walaupun kontraknya hanya berakhir pada 31 Januari tahun depan, susulan kekecewaan yang semakin memuncak terhadap isu politik, kerenah birokrasi serta kekurangan infrastruktur pembangunan akar umbi dalam sukan berbasikal negara. – Bernama

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: FAM nafi dakwaan beri amaran kepada Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.