Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Modal insan agenda utama PCDS 2030, Sarawak sedia generasi pencipta teknologi
  • Tengah
  • WILAYAH

Modal insan agenda utama PCDS 2030, Sarawak sedia generasi pencipta teknologi

Utusan Sarawak 5 hours ago
MOHAMAD Duri ketika merasmikan Jerayawara Kolej Universiti i-CATS Daerah Saratok yang berlangsung di Dewan Terbuka Sri Kalaka Saratok, kelmarin. Foto: ADUN Kalaka

SARATOK: Kerajaan Sarawak terus meletakkan pembangunan modal insan sebagai antara agenda utama dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) bagi memastikan rakyat negeri ini mampu memanfaatkan sepenuhnya peluang ekonomi dan teknologi yang sedang berkembang pesat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, pembangunan modal insan berkualiti merupakan faktor utama yang menentukan kejayaan sesebuah negara atau wilayah, meskipun memiliki sumber asli yang melimpah ruah.

Menurut beliau, kemajuan sesebuah negeri tidak hanya bergantung kepada keluasan tanah, kekayaan sumber alam atau pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya memerlukan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran serta mampu bersaing dalam ekonomi moden yang semakin mencabar.

MOHAMAD Duri ketika merasmikan Jerayawara Kolej Universiti i-CATS Daerah Saratok yang berlangsung di Dewan Terbuka Sri Kalaka Saratok, kelmarin. Foto: ADUN Kalaka

“Justeru, kerajaan Sarawak menjadikan pembangunan modal insan sebagai antara fokus utama dalam PCDS 2030 bagi memastikan rakyat dapat memanfaatkan segala peluang yang diwujudkan menerusi transformasi ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program pendidikan yang menghimpunkan kira-kira 600 pelajar daripada enam sekolah menengah utama di kawasan Saratok dan Kabong di Dewan Terbuka Sri Kalaka, kelmarin.

Mohamad Duri menegaskan, kerajaan bukan sahaja mahu melahirkan generasi yang mampu menggunakan teknologi, malah berupaya mencipta teknologi baharu serta menjadi pencetus kepada peluang pekerjaan dan inovasi masa depan.

Katanya, aspirasi itu selari dengan usaha Sarawak untuk muncul sebagai ekonomi berpendapatan tinggi yang dipacu oleh sektor digital, teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui, aeroangkasa dan industri berasaskan pengetahuan menjelang 2030.

Dalam pada itu, beliau menggesa para pelajar supaya tidak menghadkan cita-cita hanya kerana berasal dari kawasan luar bandar kerana ramai anak Sarawak daripada rumah panjang dan kampung telah berjaya menempa nama di peringkat nasional dan antarabangsa.

Menurutnya, kejayaan boleh dicapai melalui disiplin, kesungguhan serta keazaman yang tinggi selain memanfaatkan pelbagai peluang pendidikan yang disediakan oleh kerajaan negeri.

Beliau turut menekankan kepentingan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), yang disifatkan sebagai dasar bersejarah dalam memastikan tiada anak Sarawak tercicir daripada melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi akibat kekangan kewangan.

Selain FTES, katanya, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan elaun sara hidup dan bantuan sewa bilik kepada pelajar sebagai sebahagian daripada pelaburan besar dalam pembangunan generasi muda yang bakal menjadi pemacu kemajuan Sarawak pada masa hadapan.

Pada masa sama, Mohamad Duri menyifatkan pencapaian Kolej Universiti i-CATS yang kini memperoleh status universiti penuh sebagai bukti komitmen kerajaan Sarawak dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi berkualiti, sekali gus melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi merealisasikan aspirasi PCDS 2030.

Turut hadir Naib Canselor Kolej Universiti i-CATS, Profesor Emeritus Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi; Pro Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak, Datuk Abdul Wahab Aziz; Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid; wakil ADUN Krian dan Pegawai Pendidikan Daerah Saratok, Awet Gapor

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: Kong gesa tindakan segera baiki longkang, lorong belakang di Taman Three Hills 6
Next: Projek RTP perkasa kemudahan komuniti, tingkat kesiapsiagaan bencana di Jepak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.