
MADRID, Sepanyol: Real Madrid mengumumkan pembelian pemain pertahanan Sepanyol, Marc Cucurella dari Chelsea pada Isnin, dengan yuran perpindahan dilaporkan bernilai 55 juta euro (AS$63.8 juta).
“Real Madrid dan Chelsea telah mencapai persetujuan bagi perpindahan pemain Marc Cucurella, yang akan menyertai kelab kami untuk enam musim akan datang, sehingga 30 Jun 2032,” kata Los Blancos dalam satu kenyataan.
Pemain berusia 27 tahun itu menyertai Chelsea dari Brighton pada 2022 selepas dibesarkan dalam akademi juara La Liga, Barcelona, dan pernah bermain di Getafe.
Cucurella kini berada di Piala Dunia bersama Sepanyol, dan menjadi satu-satunya pemain Real Madrid dalam skuad Luis de la Fuente.
Presiden Real Madrid, Florentino Perez, dipilih semula awal Jun lalu selepas dua musim tanpa trofi utama, serta melantik Jose Mourinho sebagai ketua jurulatih baharu minggu ini.
Los Blancos dijangka turut mendapatkan pertahanan Liverpool, Ibrahima Konate, selepas kontraknya tamat di Anfield, selain dikaitkan dengan Bernardo Silva dan Denzel Dumfries dari Inter Milan.
Chelsea menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tangga ke-10 musim lalu dalam kempen mengecewakan, dengan Cucurella mengkritik keputusan kelab itu memecat Enzo Maresca pada Januari.
Pemain itu masih mempunyai baki dua tahun kontrak di Stamford Bridge, di mana beliau memenangi Piala Dunia Kelab dan Liga Konferens UEFA pada 2025. – AFP