
SIBU: Pemimpin adat termasuk tuai rumah, ketua kaum, pemanca dan temenggung perlu memainkan peranan lebih proaktif sebagai benteng utama dalam usaha membendung perkahwinan bawah umur di Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, golongan itu mempunyai pengaruh besar dalam proses membuat keputusan berkaitan perkahwinan adat dan mampu membantu memastikan kanak-kanak tidak tercicir daripada sistem pendidikan akibat berkahwin pada usia muda.
“Pemimpin adat merupakan individu yang sering dirujuk masyarakat dalam urusan perkahwinan. Justeru, mereka boleh memainkan peranan penting untuk menasihati keluarga agar mengutamakan pendidikan anak-anak sebelum memikirkan soal perkahwinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Konvensyen Kesedaran Hak Kanak-kanak di sebuah hotel di sini, hari ini.
Fatimah berkata, forum yang menghimpunkan pemimpin masyarakat dan adat itu menjadi platform penting untuk meningkatkan kesedaran mengenai hak kanak-kanak serta kesan negatif perkahwinan awal terhadap masa depan mereka.
“Jika mereka berkahwin pada usia muda, kebiasaannya mereka akan berhenti sekolah dan tidak sempat menamatkan pendidikan sehingga Tingkatan Lima.
“Selain itu, perkahwinan dan kehamilan pada usia muda juga boleh menjejaskan kesihatan ibu dan bayi kerana tubuh remaja belum berkembang sepenuhnya untuk melalui proses kehamilan dan kelahiran,” tegasnya.
Sehubungan itu, kerajaan negeri terus memperkukuh usaha pencegahan menerusi advokasi serta pendidikan seksual remaja bagi meningkatkan kesedaran mengenai risiko kehamilan remaja dan perkahwinan awal.
Pada masa sama, Fatimah berkata, kerajaan menyediakan pelbagai bentuk sokongan kepada remaja yang berdepan kehamilan tidak dirancang, termasuk kemudahan peti perlindungan bayi dan bantuan proses pengambilan anak angkat.
Oleh Tarani Lanting