Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Krisis bekalan global: Subsidi diesel Sabah, Sarawak cecah RM1.4 bilion – Armizan
  • SEMASA

Krisis bekalan global: Subsidi diesel Sabah, Sarawak cecah RM1.4 bilion – Armizan

Utusan Sarawak 6 hours ago
DATUK Armizan Mohd Ali mencuba penggunaan kad di sebuah stesen Petronas di Kota Kinabalu. Foto Facebook Armizan Mohd Ali

KOTA KINABALU: Perbelanjaan subsidi diesel bagi Sabah dan Sarawak mencecah RM1.4 bilion dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, susulan kenaikan harga minyak dunia akibat krisis bekalan global, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata kerajaan sebelum ini membelanjakan RM2 bilion setahun bagi subsidi diesel untuk kedua-dua negeri pada tahun lepas.

“Untuk dua bulan pertama 2026, subsidi diesel dibelanjakan untuk Sabah dan Sarawak ialah RM103 juta bagi Januari, dan RM106 juta pada Februari. Namun, implikasi subsidi diesel bagi kedua-dua wilayah ini mencecah RM563 juta pada Mac dan RM647 juta bagi April.

“Kerajaan komited untuk terus menyalurkan subsidi kepada rakyat dan industri secara bersasar. Justeru, kita perlu menguruskannya dengan baik kerana (melibatkan) implikasi kewangan besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan Fleet Card SmartPay Petronas, kepada sebahagian syarikat pengangkutan darat barangan dan awam di Sabah yang berdaftar di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) di sini hari ini.

Armizan berkata SKDS merupakan antara mekanisme pengurusan risiko yang diwujudkan bagi membendung ketirisan subsidi diesel, selain memperkukuh penguatkuasaan serta pemantauan penyaluran bahan api berteraskan teknologi digital.

Beliau berkata kerajaan komited untuk terus menyalurkan subsidi diesel kepada rakyat dan industri secara bersasar sebagai langkah intervensi dan mitigasi bagi menangani isu kenaikan kos sara hidup serta pergerakan harga barangan dan perkhidmatan.

Armizan berkata pada masa sama, kerajaan akan berusaha memastikan bekalan bahan api mencukupi dan stabil di seluruh negara, menerusi kerjasama rapat dengan pemain industri minyak dan gas bagi memperkukuh rantaian bekalan serta mengelakkan ketirisan.

“Setakat ini, bekalan terjamin dan kita akan memastikan tidak ada gangguan besar bekalan bahan api sama ada petrol atau diesel di stesen-stesen minyak,” katanya.

Armizan berkata pelaksanaan subsidi bahan api bersasar akan diteruskan meskipun berdepan implikasi kewangan besar, termasuk menerusi program BUDI MADANI bagi petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter dengan kuota 200 liter sebulan untuk penerima yang layak.

SKDS turut diperkenalkan bagi membolehkan syarikat pengangkutan darat barangan yang menerima kad flit menikmati subsidi bahan api pada kadar RM2.15 seliter, manakala RM1.88 seliter untuk sektor pengangkutan darat awam, katanya. – Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Kajian dasar laut kabel Sarawak-Johor tunggu kelulusan Indonesia
Next: Sarawak perlu kajian lanjut potensi hidrogen semula jadi – Abang Johari

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.