
PETRA JAYA: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sedang meneliti beberapa langkah bagi memastikan Jambatan Batang Lupar 1 terus berada dalam keadaan bersih, selamat dan selesa untuk digunakan oleh orang ramai.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pihaknya telah meminta JKR menilai pelbagai isu berkaitan penyelenggaraan kemudahan tersebut susulan kebimbangan yang dibangkitkan orang ramai baru-baru ini.
Menurut beliau, Pengarah JKR Sarawak telah diminta menyediakan laporan lengkap berhubung perkara itu dalam tempoh dua minggu bagi membolehkan tindakan susulan diambil.
“Kita melihat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian. Pengarah JKR telah meneliti isu tersebut dan saya mengharapkan laporan mengenainya dapat diserahkan dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Uggah mengulas isu kebersihan di Jambatan Batang Lupar 1 yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna jalan raya.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan sentiasa komited memastikan infrastruktur awam yang dibangunkan menggunakan peruntukan besar diselenggara dengan baik demi manfaat rakyat.
Pada masa sama, beliau mengingatkan masyarakat agar bersama-sama memainkan peranan dalam menjaga kemudahan awam dan tidak hanya bergantung kepada pihak berkuasa semata-mata.
“Rakyat Sarawak juga mempunyai tanggungjawab untuk memelihara infrastruktur yang telah dibangunkan kerajaan supaya kemudahan tersebut dapat dinikmati dalam jangka masa panjang,” katanya.
Jambatan Batang Lupar 1 yang menghubungkan kawasan pesisir Sri Aman dan Betong merupakan antara projek infrastruktur strategik Sarawak serta diiktiraf sebagai jambatan terpanjang di Malaysia.
Dalam perkembangan lain, Uggah memaklumkan Perarakan Niti Daun sempena Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak akan berlangsung Sabtu ini di Tebingan Kuching dengan penyertaan 99 kontinjen dari seluruh Sarawak serta satu kontinjen dari Sabah.
Oleh Shikin Mahmud