Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • 99 kontinjen meriahkan Perarakan Niti Daun Gawai Dayak 2026
  • TEMPATAN

99 kontinjen meriahkan Perarakan Niti Daun Gawai Dayak 2026

Utusan Sarawak 6 hours ago
BAKAL BERLANGSUNG… Datuk Amar Douglas Uggah Embas bersama yang lain menunjukkan buku program pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2026 di DUN Sarawak, hari ini.

PETRA JAYA: Sebanyak 99 kontinjen dijangka mengambil bahagian dalam Perarakan Niti Daun sempena Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2026 yang akan berlangsung di Tebingan Kuching pada Sabtu ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, persiapan bagi sambutan bertemakan Segulai Sejalai itu kini hampir siap sepenuhnya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak diadakan hari ini.

Menurut beliau, sambutan tahunan tersebut akan mengetengahkan keunikan budaya, adat resam dan identiti masyarakat Dayak di Sarawak selain menjadi platform untuk mempromosikan warisan budaya negeri kepada masyarakat tempatan dan pelancong.

“Perarakan Niti Daun akan berlangsung di Tebingan Kuching dan dijangka menarik kehadiran lebih 3,000 pengunjung. Sebanyak 99 kontinjen telah mengesahkan penyertaan dan beberapa kontinjen antarabangsa juga dijangka turut serta,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan di Bilik Mesyuarat Jawatankuasa 1, Aras 3, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Beliau berkata, sambutan tahun ini dianjurkan oleh komuniti Iban mengikut sistem penggiliran antara tiga komuniti utama Dayak iaitu Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

Katanya, acara kemuncak sambutan akan berlangsung pada 21 Jun menerusi majlis makan Malam Gawai Dayak Peringkat Negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) yang bakal menghimpunkan pelbagai pemimpin, tetamu kenamaan serta wakil masyarakat Dayak dari seluruh Sarawak.

Menurut beliau, Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dijadualkan menjadi tetamu kehormat pada majlis tersebut, manakala Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dan Premier Sarawak, Dato Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dijangka turut hadir.

Tambahnya, antara pengisian utama majlis makan malam itu ialah persembahan teater khas oleh Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF) bertajuk Dari Ruai ke Persada Dunia yang menggambarkan perjalanan dan kemajuan masyarakat Dayak daripada kehidupan tradisional kepada penglibatan aktif dalam pembangunan moden.

Selain itu, majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan termasuk Rickie Andrewson, Phoebe Chloe Tay dan Rozzie Mila serta persembahan khas bakat muda Little Birdie yang pernah mencipta nama di pentas tarian antarabangsa.

Dalam pada itu, Uggah berkata program Bazar Gawai dan Festival Budaya Etnik yang berlangsung di Miri dari 1 hingga 23 Mei lalu berjaya mencapai matlamatnya dalam mempromosikan kebudayaan dan warisan masyarakat Dayak kepada orang ramai.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak, Kerajaan Persekutuan, penaja serta pelbagai agensi yang terlibat atas sokongan dan kerjasama dalam memastikan Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2026 dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: RM1.1 juta naik taraf Jalan Ha Sha Lung tingkat keselamatan, kesalinghubungan di Batu Kawa
Next: JKR teliti langkah tambah baik penyelenggaraan Jambatan Batang Lupar 1

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.