
SARIKEI: Kekuatan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bergantung kepada komitmen jentera parti yang sentiasa mendekati rakyat dan melaksanakan amanah dengan berkesan di peringkat akar umbi.
Naib Presiden PBB, Datuk Len Talif Salleh berkata, jentera parti khususnya Pergerakan Wanita PBB memainkan peranan penting sebagai penggerak utama dalam memastikan hubungan antara parti dan rakyat terus kukuh.
Katanya, majlis makan malam Simpulan Kasih merupakan platform penting dalam merapatkan hubungan silaturahim dan mendekatkan pemimpin dengan masyarakat menerusi pendekatan turun padang yang lebih menyeluruh.

“Majlis makan malam Simpulan Kasih ini merupakan platform yang amat penting dalam merapatkan jurang sosial serta hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
“Melalui pendekatan turun padang ini, kita dapat menyelami naratif kehidupan dan menyantuni masyarakat akar umbi dengan acuan kasih sayang yang sebenar. Itulah simpulan kasih,” katanya.
Len Talif yang juga Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Simpulan Kasih Zon 7 di Dewan Serbaguna Kampung Seberang Sarikei, semalam.
Tambahnya, peranan wanita dalam parti tidak boleh dipandang ringan kerana mereka merupakan tulang belakang penting yang membantu menggerakkan pelbagai program kemasyarakatan dan jangkauan rakyat.
“Komitmen jentera seperti inilah yang menjadi nadi kekuatan untuk kita terus menggerakkan program jangkauan ini demi membawa impak yang positif kepada komuniti kita.
“Terima kasih atas pengorbanan masa, tenaga dan buah fikiran yang telah dicurahkan,” katanya.


Beliau turut mengingatkan semua pemimpin dan ahli PBB supaya terus berpegang teguh kepada pesanan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang sentiasa menekankan kepentingan peranan jentera parti dalam memastikan kestabilan dan kemajuan Sarawak.
“Kekuatan Sarawak terletak pada perpaduan dan kestabilan kita.
“Tugas kita di peringkat akar umbi adalah untuk berkhidmat, menjaga kebajikan rakyat dan memastikan kestabilan ini berterusan demi masa depan Sarawak,” katanya lagi.
Katanya lagi, Simpulan Kasih juga perlu dijadikan platform untuk memperkukuhkan empat fokus utama jentera kepimpinan PBB iaitu menyampaikan maklumat secara berkesan, melaksanakan inisiatif kerajaan, melindungi keharmonian dan kebajikan rakyat serta mempersiapkan jentera melalui penyelarasan strategik yang lebih tersusun.
“Jadikan program jangkauan dan Simpulan Kasih ini sebagai penyuntik semangat untuk kita memacu empat fokus utama jentera kepimpinan.
“Ingatlah kekuatan kita khasnya golongan wanita agar bergerak sehati sejiwa dalam menempuh cabaran,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang.
Beliau turut menggesa semua ahli PBB agar terus memperkukuhkan semangat muafakat, bekerjasama dan bergerak seiring dalam memastikan agenda pembangunan serta kesejahteraan rakyat dapat diteruskan demi kemajuan Sarawak.
Oleh Earl Anek