Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Percaturan Popovic berhasil, Australia tumbangkan Turkiye 2-0
  • SUKAN

Percaturan Popovic berhasil, Australia tumbangkan Turkiye 2-0

Utusan Sarawak 5 hours ago
CONNOR Metcalfe meraikan jaringan kedua Australia ketika aksi Kumpulan D Piala Dunia FIFA 2026 menentang Turkiye di Stadium BC Place, Vancouver, British Columbia. Foto: AFP

VANCOUVER, Kanada: Australia mencipta kejutan apabila menewaskan Turkiye 2-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan D Piala Dunia, hari ini, hasil keberanian jurulatih Tony Popovic melakukan rombakan besar dalam kesebelasan utama.

Nestory Irankunda dan Connor Metcalfe masing-masing menjaringkan gol buat Australia, manakala penjaga gol muda, Patrick Beach, tampil cemerlang menerusi beberapa aksi menyelamat penting untuk memastikan kemenangan bersejarah di Stadium BC Place.

Popovic membuat keputusan berani apabila menggugurkan kapten dan penjaga gol berpengalaman, Maty Ryan, bagi memberi peluang kepada Beach yang hanya membuat penampilan antarabangsa ketiganya.

Naib kapten, Jackson Irvine, turut diketepikan dengan tempatnya diisi pemain tengah berusia 21 tahun, Paul Okon-Engstler, dalam kesebelasan utama yang menampilkan 10 pemain membuat penampilan sulung di Piala Dunia.

Keputusan itu terbukti tepat apabila Beach menjadi benteng utama Australia dengan beberapa penyelamatan penting meskipun Turkiye menguasai sebahagian besar permainan.

PEMAIN Australia memberikan penghargaan kepada penyokong selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Turkiye dalam aksi Kumpulan D Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium BC Place, Vancouver, British Columbia. Foto: AFP

Okon-Engstler pula memainkan peranan penting dalam jaringan pembukaan apabila hantaran jauhnya berjaya memecahkan pertahanan Turkiye sebelum disudahkan Irankunda.

Turkiye, yang kembali beraksi di Piala Dunia buat kali pertama sejak menduduki tempat ketiga pada edisi 2002, hadir dengan harapan tinggi untuk melangkah jauh dalam kejohanan kali ini.

Bagaimanapun, pasukan yang dibarisi ramai pemain berpengalaman di Liga Juara-Juara Eropah itu gagal menembusi pertahanan Australia yang tersusun.

Peluang terbaik Turkiye hadir pada minit ke-27 menerusi Arda Guler, namun percubaannya berjaya ditepis Beach.

Tidak lama kemudian, Australia membuka jaringan apabila Beach menghantar bola kepada Okon-Engstler yang seterusnya melorongkan hantaran jauh kepada Irankunda.

PENYOKONG Australia meraikan kemenangan 2-0 pasukan mereka ke atas Turkiye selepas aksi Kumpulan D Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium BC Place, Vancouver, British Columbia. Foto: AFP

Pemain sayap itu melepasi kawalan pertahanan lawan dengan sentuhan pertama yang kemas sebelum melepaskan rembatan rendah untuk menewaskan penjaga gol Turkiye.

Irankunda meraikan gol tersebut dengan meniru gaya sambutan legenda Australia, Tim Cahill, yang terkenal dengan aksi menumbuk bendera penjuru padang.

Turkiye hampir menyamakan kedudukan tiga minit kemudian menerusi rembatan deras Abdulkerim Bardakci dari luar kotak penalti, namun Beach sempat menepis bola yang kemudian terkena tiang gol.

Beach terus mempamerkan aksi cemerlang pada babak kedua apabila menafikan satu lagi percubaan Arda Guler menerusi sepakan percuma pada minit ke-57.

Australia menggandakan kelebihan pada minit ke-75 menerusi Metcalfe yang merampas bola di bahagian tengah sebelum mara ke hadapan dan melepaskan rembatan dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol lawan.

Kemenangan itu membolehkan Australia mengutip tiga mata dan berkongsi kedudukan teratas Kumpulan D bersama Amerika Syarikat menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di Seattle pada Jumaat ini. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Mesir tidak besarkan isu perubahan jersi Piala Dunia
Next: Dua lelaki didakwa curi peralatan latihan Piala Dunia England

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.