
KUCHING: Usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap diabetes serta menggalakkan pengesanan awal penyakit itu menjadi fokus utama Hari Kesedaran Kesihatan Komuniti yang diadakan di Pusat Beli-Belah Mega Vivacity hari ini.
Program anjuran Diabetes Malaysia Cawangan Negeri Sarawak dengan kerjasama Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cawangan Stampin dan Pusat Beli-Belah Mega Vivacity itu menghimpunkan pelbagai aktiviti pendidikan kesihatan, saringan percuma dan demonstrasi bantuan kecemasan untuk masyarakat.
Pengerusi Diabetes Malaysia Cawangan Negeri Sarawak, Dr William Voon berkata, program berkenaan bertujuan meningkatkan pemahaman orang ramai mengenai diabetes yang semakin menjadi antara cabaran kesihatan utama di negara ini.
Beliau turut menyampaikan ceramah bertajuk “Diabetes dan Kesihatan Anda” yang menyentuh mengenai faktor risiko, kepentingan pengesanan awal serta langkah pengurusan penyakit tersebut bagi mengelakkan komplikasi serius.
Selain ceramah kesihatan, pengunjung berpeluang menyaksikan demonstrasi penggunaan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) dan Defibrilator Luaran Automatik (AED) yang dikendalikan oleh Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cawangan Stampin bagi meningkatkan kesedaran mengenai kemahiran asas menyelamatkan nyawa ketika kecemasan.

Program itu turut menawarkan pemeriksaan mata percuma oleh Kedai Cermin Mata OJO dan saringan kesihatan pendengaran oleh syarikat Pusat Bantu Pendengaran Best.
Farmasi PMG pula mengadakan pameran kesihatan pergigian serta mengagihkan baucar pemeriksaan pergigian percuma kepada pengunjung.
Pengunjung terawal turut menerima beg cenderamata serta pelbagai baucar hadiah dan diskaun yang disediakan oleh penaja program.
Program yang berlangsung di East Atrium, tingkat bawah Pusat Beli-Belah Mega Vivacity itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang mengambil peluang mendapatkan maklumat serta pemeriksaan kesihatan secara percuma.
Oleh Masrin Affirah