
SARIKEI: Seramai 4,049 penerima di Bahagian Sarikei telah menerima pelbagai bantuan kesejahteraan sosial dengan jumlah perbelanjaan melebihi RM8.01 juta sehingga 11 Jun lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bantuan tersebut merangkumi pelbagai kategori yang memberi manfaat secara langsung kepada golongan memerlukan di Bahagian Sarikei.
Katanya, daripada jumlah keseluruhan penerima bantuan tersebut, Bantuan Warga Emas mencatatkan bilangan tertinggi iaitu seramai 1,068 penerima dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM3.81 juta.
“Sehingga 11 Jun 2026, seramai 4,049 penerima di Bahagian Sarikei telah menerima pelbagai bantuan kesejahteraan sosial dengan jumlah perbelanjaan melebihi RM8.01 juta.
“Bantuan tersebut merangkumi pelbagai kategori termasuk Bantuan Warga Emas, Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Pesakit Terlantar, Bantuan Orang Kurang Upaya (OKU), Elaun Pekerja OKU dan Bantuan Am,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penutupan Program Jangkauan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) bersama rakan strategik bertemakan ‘Kamek Prihatin, Kitak Penting’ bagi Zon Sarikei di Dewan Serbaguna, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak, Bahagian Sarikei, hari ini.

Tambahnya, Bantuan OKU Tidak Bekerja pula memberi manfaat kepada 709 penerima dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1.27 juta.
Tambahnya, angka tersebut bukan sekadar statistik, sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa dipelihara dan tiada golongan yang tercicir daripada menerima bantuan serta sokongan yang sewajarnya.
“Kesejahteraan sosial bukan sekadar soal bantuan atau kebajikan. Ia merupakan asas kepada pembangunan masyarakat yang stabil, produktif dan berdaya tahan.
“Apabila rakyat mempunyai akses kepada sokongan yang diperlukan, mereka bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti hidup, malah mampu menyumbang secara aktif kepada pembangunan keluarga, komuniti dan negeri,” katanya.
Fatimah turut menjelaskan bahawa Program Jangkauan KPWK bersama rakan strategik merupakan antara inisiatif kementerian bagi memastikan perkhidmatan kerajaan dapat disampaikan secara terus kepada rakyat melalui pendekatan yang lebih mesra komuniti dan berfokus kepada keperluan setempat.
Dalam pada itu, beliau berkata program tersebut berjaya menghimpunkan kira-kira 300 peserta daripada enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kuala Rajang, Semop, Repok, Meradong, Pakan dan Meluan serta melibatkan penyertaan 24 agensi dan rakan strategik yang menawarkan pelbagai perkhidmatan, khidmat nasihat dan perkongsian maklumat kepada masyarakat.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Ahli Parlimen Tanjong Manis Dato Ir. Yusuf Abd Wahab, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Koung Hiing, Timbalan Setiausaha KPWK Kathereen Lalai Eddie Saga, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKMS) Semawi Mohamad dan Pegawai Daerah Sarikei Louis Yeo Soon Guan.
Oleh Earl Anek