
SIBU: Lebih RM30 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan kebajikan di kawasan DUN Pelawan sepanjang empat tahun setengah lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, peruntukan tersebut merangkumi pelbagai projek infrastruktur dan kemudahan awam.
Antaranya termasuk RM7.64 juta bagi menaik taraf jalan raya, RM3.15 juta untuk pembangunan taman komuniti dan kemudahan rekreasi, RM2.33 juta bagi pembinaan pelbagai kemudahan awam serta RM3.80 juta untuk kerja menaik taraf sistem perparitan.
Selain itu, katanya, RM3.62 juta telah diperuntukkan bagi menaik taraf kemudahan sekolah, manakala RM1.40 juta disalurkan untuk membantu rumah ibadat dan tanah perkuburan.
Beliau turut berjaya mendapatkan peruntukan RM5 juta daripada kerajaan bagi membaik pulih Tanah Perkuburan Melanau di Bukit Aup.
“Melalui Program Pembaikan Rumah, sebanyak RM4.5 juta telah diperuntukkan untuk membaik pulih 305 rumah di kawasan DUN Pelawan.
“Pada masa akan datang, saya bercadang agar semua pengundi Pelawan, walaupun menetap di kawasan pilihan raya lain, turut dapat menikmati manfaat program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada 194 pertubuhan dan persatuan di Sibu, hari ini.
Pada majlis tersebut, sejumlah RM1,236,200 geran pembangunan telah diagihkan kepada penerima yang layak.
Tiang yang juga Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, beliau juga membantu mendapatkan kelulusan kerajaan untuk memansuhkan cukai jualan lima peratus ke atas tayar serta memperjuangkan peruntukan RM3 juta bagi menyelesaikan masalah tangki septik yang dihadapi 320 isi rumah di Taman Rejang.
Di samping itu, beliau berjaya memperoleh peruntukan RM960,000 daripada Premier Sarawak bagi membantu penduduk yang memasang tangki septik sendiri, dengan setiap isi rumah menerima subsidi RM3,000.
Beliau turut memaklumkan bahawa Jalan Ling Kai Cheng dan Jalan Ulu Sungai Merah yang sekian lama berdepan masalah banjir kini telah dinaik taraf bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan.
“Projek menaik taraf Jalan Ulu Sungai Merah kepada jalan dua lorong kini mencapai kemajuan 90.5 peratus dan hanya berbaki beberapa kerja akhir termasuk pembinaan laluan pejalan kaki serta sistem saliran,” ujarnya.
Katanya, beliau terus menitikberatkan aspek kebajikan penduduk menerusi pemberian insentif kepada pasangan pengantin baharu dan bayi yang baru lahir.
Menurutnya, setiap pasangan pengantin menerima insentif RM500 manakala setiap bayi yang dilahirkan menerima RM300.
“Sehingga kini seramai 527 pasangan pengantin dan 1,019 bayi telah menerima manfaat tersebut dengan jumlah keseluruhan bantuan mencecah RM580,000,” katanya.
Beliau turut menyalurkan bantuan ihsan berjumlah RM22,000 kepada 22 orang guru selain menubuhkan Dana Penyakit Kritikal Guru bernilai RM20,000 pada tahun 2025 bagi membantu warga pendidik yang berdepan masalah kesihatan serius.
Oleh Akun Giman