
KUCHING: Seramai 37 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak yang dijalankan di sekitar Kuching, Kota Samarahan dan Lundu selama dua hari bermula 11 hingga 12 Jun lalu.
Operasi melibatkan Ops Selera, Ops Minyak, Ops Sapu, Ops Mahir dan Ops Gegar itu dilaksanakan Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasa Kuching bagi membanteras pelanggaran undang-undang imigresen di negeri ini.
Sepanjang operasi yang berlangsung dari 9.00 pagi hingga 4.00 pagi, pasukan penguat kuasa melakukan pemeriksaan di 13 lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan warga asing.

Antara lokasi yang diperiksa termasuk premis perjudian dalam talian, kedai makan, bilik sewa, pusat mencuci kenderaan, kilang dan pusat hiburan di Kota Sentosa, Bintawa, Bandar Baru Semariang, Tabuan Jaya, Kota Samarahan, Pekan Lundu serta Pending.
Hasil pemeriksaan ke atas 122 individu membawa kepada penahanan 37 warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
Antara kesalahan yang dikesan ialah tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di bawah Seksyen 15(1)(c) serta tidak memiliki pas atau dokumen perjalanan yang sah mengikut Seksyen 6(1)(c) akta berkenaan.
Kesemua individu yang ditahan dibawa untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

JIM Sarawak akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi mengesan, menahan dan mengambil tindakan terhadap warga asing yang melanggar peraturan imigresen negara.
Orang ramai turut disaran menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang imigresen bagi membantu usaha penguatkuasaan di seluruh negeri.