
KUCHING: Sebanyak 73 projek yang dihasilkan oleh 154 pelajar tahun akhir daripada Fakulti Kejuruteraan, Pengkomputeran dan Sains (FECS), Kampus Sarawak Universiti Teknologi Swinburne dipertontonkan dalam Pameran Projek Tahun Akhir (FYP) Semester 1, sekali gus mengetengahkan bakat baharu serta inovasi yang berpotensi memberi impak kepada industri dan masyarakat.
Pameran yang berlangsung pada 26 Mei lalu itu menghimpunkan projek penyelidikan dan inovasi daripada pelbagai bidang di bawah tema “People in STEM Can Work Together to Build a Better World”, selain menjadi platform menghubungkan dunia akademik dengan sektor industri.
Dekan FECS, Ir Profesor Su Hieng Tiong berkata bidang kejuruteraan, pengkomputeran dan sains bukan sekadar disiplin ilmu, malah berperanan mengubah idea menjadi penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Menurut beliau, para pelajar bukan sahaja berusaha menyelesaikan cabaran semasa, malah sedang membentuk masa depan yang lebih baik menerusi aplikasi sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Pelajar daripada pelbagai program termasuk Kejuruteraan Awam, Mekanikal, Robotik dan Mekatronik, Elektrik dan Elektronik, Kimia, Perisian, Sains Komputer, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Bioteknologi serta Sains Alam Sekitar membentangkan projek yang mencerminkan kemahiran teknikal, inovasi dan keupayaan penyelidikan yang dibangunkan sepanjang pengajian mereka.
Turut diadakan ialah sesi plenari yang menampilkan Pengurus Pengambilan SOCOE Sdn Bhd, Esther Wong bersama rakan sekerja beliau, Alicia Kok, Derrick Jong dan Nicholas Liew menerusi ceramah bertajuk “The Environment That Shapes You”, selain perkongsian oleh Pengarah Bersekutu School of Research Swinburne Sarawak, Ir Profesor Viknesh Andiappan mengenai peluang melanjutkan pengajian ke peringkat pascasiswazah.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Industri kepada projek-projek terbaik yang ditaja oleh organisasi terlibat, dengan wakil industri memberikan maklum balas serta pandangan profesional kepada para peserta.

Antara projek yang mencuri perhatian ialah “Intuitive Human-Robot Interaction: Integrating LLMs and Scene Perception for Context-Aware Service Robots” hasil penyelidikan Rodney Leonardo Liaw Shoon Yung yang menerima Anugerah Industri Sunvision Engineering Sdn Bhd bagi kategori Projek Terbaik Dilaksanakan dalam bidang Kejuruteraan Robotik dan Mekatronik.
Projek tersebut menggabungkan teknologi Pengecaman Pertuturan Automatik (ASR), Model Bahasa Besar (LLM) dan persepsi persekitaran bagi membolehkan robot perkhidmatan berinteraksi secara lebih pintar, memahami kehendak pengguna serta memberikan maklum balas berdasarkan situasi semasa.
Rodney berkata usaha gigih menjadi kunci utama dalam mengubah peluang yang diperoleh kepada pencapaian yang membanggakan.
Pameran itu mendapat sokongan daripada SOCOE Sdn Bhd, Sunvision Engineering Sdn Bhd, PCSS Consultancy Sdn Bhd, James Dyson Foundation dan Da Ji Tai Holdings Sdn Bhd.
Esther Wong berkata pihak industri menghargai kerjasama berterusan dengan institusi pendidikan kerana ia membuka ruang untuk mengenal pasti bakat masa depan serta mempelajari idea baharu yang mampu memacu kemajuan bersama.
Pameran FYP Semester 1 tersebut terus berperanan sebagai jambatan antara kecemerlangan akademik dan kesiapsiagaan profesional, sekali gus mengukuhkan komitmen Swinburne Sarawak dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang secara bermakna kepada industri dan masyarakat.
Inisiatif itu juga selaras dengan visi Ad Astra 2030 universiti berkenaan yang memberi penekanan kepada kebolehpasaran graduan, pengukuhan hubungan industri dan perluasan peluang kerjasama penyelidikan pada masa hadapan.
Oleh Norman B