
KUCHING: Sarawak merancang membina sebuah pusat prestasi tinggi yang canggih di kawasan Kompleks Sukan Sarawak bagi menyokong program pembangunan atlet dan sains sukan di negeri ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, lokasi pembinaan pusat tersebut telah dikenal pasti di dalam Kompleks Sukan Sarawak dan kini berada pada peringkat perancangan serta kajian.
Menurut beliau, kewujudan pusat prestasi tinggi merupakan komponen penting dalam pembangunan sukan kerana ia menyediakan kemudahan dan teknologi yang diperlukan untuk meningkatkan prestasi atlet.
“Kami telah melawat beberapa negara termasuk New Zealand, Korea Selatan dan Australia bagi mengkaji pembangunan pusat prestasi tinggi di negara berkenaan. Pusat seperti ini tidak semestinya bersaiz besar, tetapi perlu dilengkapi kemudahan dan teknologi yang dapat membantu meningkatkan prestasi atlet yang telah dikenal pasti,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut meneliti pendekatan yang digunakan beberapa negara dalam pembangunan atlet menerusi penggunaan teknologi dan sains sukan.
Menurut Abdul Karim, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan persiapan bagi penganjuran Sukan SEA 2027 berjalan mengikut perancangan sebelum memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek berkenaan.
Katanya, pembinaan pusat prestasi tinggi itu dijangka dimulakan selepas Sukan SEA 2027, manakala proses penyediaan dokumentasi, kertas kerja dan pemilihan tapak akan dilaksanakan lebih awal.
Beliau berkata, pusat tersebut akan mengambil contoh model pembangunan sukan yang digunakan di Australia dan New Zealand, khususnya dalam aspek penggunaan teknologi dan sains sukan.
Menurutnya, projek itu akan dibiayai oleh Kerajaan Sarawak dengan kerjasama Institut Sukan Negara (ISN), termasuk dalam penyediaan kepakaran sains sukan bagi menyokong operasi pusat berkenaan.
Oleh Norman B