
SIBU: Pasukan Bomba dan Penyelamat Sibu Jaya membantu mengangkat mayat seorang lelaki obesiti seberat kira-kira 170 kilogram yang disahkan meninggal dunia di kediamannya di Sibu Jaya, pagi tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan khidmat khas pada 7.25 pagi sebelum sebuah jentera bersama lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi mendapati mangsa, 41, telah disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
“Pasukan bomba diminta membantu mengangkat mangsa yang mempunyai berat badan sekitar 170 kilogram dari rumah ke dalam kenderaan polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi dijalankan dengan kerjasama pihak KKM dan polis sebelum mayat berjaya dipindahkan dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi yang bermula pada 7.31 pagi itu berjaya dikawal sepenuhnya pada 9 pagi sebelum ditamatkan pada 9.47 pagi.
Turut berada di lokasi ialah tiga petugas KKM dan enam anggota polis yang membantu melancarkan operasi.
Operasi berkenaan melibatkan sebuah jentera LFRT dan diketuai PBK II Mazlan Abu bersama empat anggota lain.
Oleh Akun Giman