
KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa meneliti kursus pengajian yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memastikan program berkenaan kekal relevan, berdaya tahan serta memenuhi keperluan industri semasa.
Ketua Setiausaha KPT Datuk Aminuddin Hassim berkata penawaran kursus baharu perlu melalui penilaian Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebelum dilaksanakan bagi memastikan ia benar-benar memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.
“Proses ini penting kerana MQA akan membuat penilaian secara menyeluruh berdasarkan input industri bagi memastikan kursus yang ditawarkan relevan, berdaya tahan dan diperlukan pasaran.
“KPT turut memantau perkembangan ini secara berterusan termasuk di institusi pengajian tinggi swasta kerana pelaksanaan sesuatu program melibatkan kos serta kesiapsiagaan institusi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas tindakan beberapa IPT memansuhkan kursus yang tidak lagi relevan dengan keperluan pasaran kerja semasa selepas merasmikan Majlis Penutupan Malaysia FIRA Cup Ke-19 2026, di sini, hari ini.
Aminuddin berkata pada setiap sesi akademik, senat IPT akan bersidang bagi mempertimbang cadangan memperkenalkan kursus baharu atau menamatkan kursus sedia ada selaras dengan keperluan semasa, termasuk mengambil kira dasar baharu kerajaan.
Beliau berkata proses sama turut dilaksanakan di institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah KPT iaitu politeknik dan kolej komuniti, yang tahun ini melibatkan semakan beberapa program termasuk Diploma Teknologi Tekstil.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata KPT sedang dalam proses menaik taraf 10 politeknik kepada status Politeknik Premier menjelang 2027, sekali gus membolehkan program Ijazah Sarjana Muda diperkenalkan bagi memperkasa bidang TVET negara.
Sementara itu, Aminuddin menasihatkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia supaya tidak menolak tawaran kemasukan ke IPT atas faktor kewangan kerana kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan bagi meringankan beban pelajar.
“KPT memandang serius isu ini dan sentiasa bersedia membantu pelajar yang memerlukan melalui pelbagai saluran bantuan yang disediakan,” katanya.- Bernama