Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • KPM lancar inisiatif strategik perkukuh keselamatan murid, pacu reformasi pendidikan
  • PENDIDIKAN

KPM lancar inisiatif strategik perkukuh keselamatan murid, pacu reformasi pendidikan

Utusan Sarawak 5 hours ago
GARIS Panduan Sekolah Selamat, Polisi Perlindungan Murid antara fokus baharu KPM.

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini melancarkan beberapa inisiatif strategik, termasuk Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat dan Polisi Perlindungan Murid bagi memperkukuh aspek keselamatan dan kesejahteraan murid.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata inisiatif lain termasuk portal dan pelantikan Pasukan Prakarsa Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026 hingga 2035, pemerkasaan Sekolah Menengah Teknik serta inisiatif iPayment KPM bagi memacu kecemerlangan pendidikan negara.

Beliau berkata garis panduan yang dibangunkan dengan kerjasama pakar, termasuk Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) akan menjadi rujukan utama bagi memastikan institusi pendidikan terus berfungsi sebagai ruang pembelajaran yang selamat, kondusif dan sejahtera.

“Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat dan Polisi Perlindungan Murid dibangunkan dengan kerjasama pakar, termasuk NIOSH.

“Ia perlu menjadi rujukan utama bagi memastikan institusi KPM terus berfungsi sebagai ruang pembelajaran yang selamat, kondusif dan sejahtera,” katanya menerusi hantaran di Facebook sempena perhimpunan bulanan KPM hari ini.

Fadhlina berkata portal RPM 2026 hingga 2035 pula adalah inisiatif penting dalam usaha KPM meningkatkan kecekapan penyampaian maklumat terkait agenda reformasi pendidikan negara kepada masyarakat.

“Kejayaan RPM 2026 hingga 2035 bergantung kepada tahap pemahaman, penerimaan serta komitmen seluruh warga pendidikan dan masyarakat untuk bergerak ke arah hala tuju dan matlamat yang telah ditetapkan,” katanya.

Pada masa sama, Fadhlina berkata semua sembilan Sekolah Menengah Teknik secara rasmi diserahkan kepada Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP) sebagai usaha memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional sejajar dengan hala tuju negara.

Beliau turut memaklumkan beberapa pencapaian signifikan dicatat KPM sepanjang Mei dan awal Jun ini, termasuk kejayaan penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 yang merekodkan kehadiran lebih 2.4 juta pengunjung.

Beliau berkata kejayaan itu memberi makna besar terhadap komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk meningkatkan akses pembacaan, amalan membaca dan budaya ilmu. 

Selain itu, Fadhlina berkata kementerian turut menerima Anugerah Perdana menerusi Inspektorat Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan sebagai pengiktirafan terhadap usaha memperkukuh pengurusan keselamatan fizikal, dokumen, teknologi maklumat dan komunikasi serta keselamatan peribadi.

“Memasuki suku ketiga 2026, ayuh kita tingkatkan produktiviti, bekerja bersama-sama dan menggembleng usaha bagi merealisasikan hasrat untuk memartabatkan pendidikan negara,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Dua pelajar SMK Saint Luke cemerlang SPM 2025 terima penghargaan JAKKSA
Next: KPT sentiasa teliti penawaran kursus IPT bagi pastikan kebolehpasaran graduan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.