Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Tang Jie perlu kental, ‘cipta semula’ kekuatan luar biasa – Peng Soon
  • SUKAN

Tang Jie perlu kental, ‘cipta semula’ kekuatan luar biasa – Peng Soon

Utusan Sarawak 11 hours ago
AKSI Chen Tang Jie di gelanggang ketika beraksi bersama skuad negara.

KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran utama negara Chen Tang Jie dinasihatkan untuk menggunakan tempoh pemulihan rakan gandingannya Toh Ee Wei sebagai fasa untuk ‘mencipta semula’ kekuatan luar biasa dalam permainannya, kata bekas pemain beregu campuran negara Chan Peng Soon. 

Peng Soon yang pernah melalui situasi hampir serupa ketika gandingannya bersama Goh Liu Ying yang mengalami kecederaan serius menitipkan pesanan supaya Tang Jie tidak membiarkan emosi memperlahankan rentak momentum, sebaliknya terus fokus kepada latihan intensif.

Beliau berkata gandingan sementara Tang Jie bersama pemain lain ketika ini perlu dilihat sebagai peluang keemasan untuk beliau belajar memikul tanggungjawab lebih besar terutamanya dalam aspek mengemudi gelanggang dengan lebih efisien.

“Paling penting adalah jaga keadaan dan prestasi sendiri. Teruskan latihan seperti biasa. Walaupun nanti mungkin berpasangan dengan pemain muda atau pasangan lain, itu masanya untuk anda belajar bagaimana untuk melindungi (cover) gelanggang dengan lebih banyak.

“Proses ini akan menjadikan anda pemain yang lebih kuat. Apabila Ee Wei kembali nanti, pastikan prestasi anda masih pada tahap yang sama. Itu adalah perkara paling mustahak,” katanya kepada pemberita, baru-baru ini.

Mengulas mengenai beban emosi, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu mengakui bahawa perasaan sedih dan bimbang adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan apabila pasangan tetap ditimpa kecederaan.

“Perasaannya sama sahaja (sedih). Ibarat kaki kanan sihat, tetapi kaki kiri cedera, sudah tentu pergerakan akan terjejas. Saya dengan Liu Ying dahulu ialah satu unit, satu pasangan.

“Walaupun dia yang cedera dan saya sihat, ia tetap memberikan kesan kepada keseluruhan perancangan saya, kejohanan yang mahu disertai dan sasaran masa depan. Semuanya akan terkesan,” katanya. 

Terdahulu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pemain beregu campuran negara Toh Ee Wei mengalami kecederaan lutut ketika beraksi pada suku akhir Terbuka Singapura 2026, bulan lepas. 

BAM dalam kenyataan itu memaklumkan hasil pemeriksaan imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) mendapati Ee Wei mengalami koyakan separa ligamen krusiat anterior (ACL) pada lutut kiri.

Sementara itu, Ketua jurulatih beregu campuran negara Nova Widianto berkata  pihaknya masih menanti sama ada Ee Wei perlu menjalani pembedahan atau sebaliknya, susulan kecederaan yang dialami.

Jurulatih dari Indonesia itu berkata Tang Jie buat sementara waktu akan bergandingan dengan Clarissa San, pada Terbuka China di Jiangsu dari 21 hingga 26 Julai ini. – Bernama

Continue Reading

Previous: Enjin Formula 1 kurangkan kuasa elektrik dalam tempoh dua tahun akan datang
Next: Presiden FIFA pertahan harga tiket Piala Dunia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.