

SONG: Orang ramai khususnya pengguna sungai di kawasan Sungai Musah, Katibas diminta mematuhi segala arahan keselamatan dan menggunakan laluan sementara yang disediakan sepanjang pelaksanaan projek pembinaan semula Jambatan Nanga Musah.
Menurut notis yang dikeluarkan oleh Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), kerja perobohan dan pembinaan semula jambatan berkenaan telah bermula sejak Oktober tahun lalu dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 21 April 2027.
Sehubungan itu, semua pengguna bot yang melalui kawasan terbabit diwajibkan turun dari bot dan menggunakan laluan sementara pejalan kaki yang telah disediakan bagi memastikan keselamatan sepanjang tempoh pembinaan dijalankan.

Selain itu, pergerakan bot di kawasan tersebut turut dibantu oleh petugas yang dilantik bagi memastikan urusan menyeberang dapat dilakukan dengan selamat dan teratur tanpa menjejaskan aktiviti harian penduduk setempat.
LSS turut menasihatkan semua pengguna sungai serta penduduk di sepanjang Sungai Musah agar sentiasa memberikan kerjasama dan mematuhi arahan petugas di lokasi bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan berkata, sesi libat urus bersama komuniti setempat telah dilaksanakan sebelum projek dimulakan bagi memberi penerangan mengenai kaedah pergerakan, penggunaan laluan sementara dan langkah keselamatan yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh pembinaan.
Menurut beliau, kerjasama erat antara agensi pelaksana, kontraktor dan penduduk setempat amat penting bagi memastikan kelancaran projek serta keselamatan semua pengguna sungai yang melalui kawasan berkenaan.
“Justeru, saya memohon agar semua penduduk yang terlibat serta pengguna sungai di kawasan Sungai Musah terus memberikan kerjasama dan mematuhi arahan yang telah ditetapkan bagi melicinkan pelaksanaan projek pembinaan semula jambatan ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk setempat atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan, selain menghargai komitmen LSS, kontraktor serta petugas lapangan yang membantu memastikan pergerakan penduduk dapat diteruskan dengan selamat sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
Tambahnya, segala kesulitan yang dihadapi adalah bersifat sementara dan akan memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat menerusi penyediaan infrastruktur yang lebih selamat, moden dan berkualiti pada masa hadapan.
“Orang ramai juga dinasihatkan mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan bersama dan kelancaran projek pembangunan tersebut,” katanya.
Oleh Adi Safarman