
SARIKEI: Tiga persatuan berganding bahu menganjurkan program derma darah bagi memastikan bekalan darah Hospital Sarikei sentiasa mencukupi untuk kegunaan pesakit yang memerlukan rawatan dan bantuan kecemasan.
Program tersebut akan dianjurkan oleh Persatuan Pemuliharaan Hayat Sarikei dengan kerjasama Persatuan Kwong Wai Siew Sarikei dan Persatuan Klan Ying Yong Cheng Sarikei pada 14 Jun ini di Restoran New Fortune.
Pengerusi Persatuan Pemuliharaan Hayat Sarikei, Wong Ching Ngie berkata, program tersebut bertujuan menggalakkan lebih ramai masyarakat tampil menderma darah sekali gus membantu menambah stok darah di Tabung Darah Hospital Sarikei.
“Melalui aktiviti ini, kami berharap dapat menggalakkan ahli-ahli persatuan dan masyarakat setempat untuk mengambil bahagian secara aktif dalam menderma darah.
“Bekalan darah yang mencukupi amat penting bagi membantu pesakit yang memerlukan pemindahan darah, terutama dalam situasi kecemasan dan rawatan kritikal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, program tersebut akan bermula dari 8.00 pagi hingga 1.00 petang dan terbuka kepada orang ramai yang memenuhi syarat ditetapkan.
“Individu berumur antara 18 hingga 60 tahun, termasuk mereka yang pernah menderma darah lebih daripada tiga bulan lalu atau yang belum pernah menderma darah, dialu-alukan untuk menyertai program tersebut.
“Orang ramai hanya perlu membawa buku rekod derma darah atau kad pengenalan semasa hadir ke program tersebut” katanya.
Tambahnya, amalan menderma darah merupakan satu bentuk sumbangan yang amat bermakna kerana setiap pek darah yang didermakan berpotensi membantu menyelamatkan nyawa pesakit.
Dalam masa yang sama, program tersebut turut menjadi platform untuk memupuk semangat kesukarelawanan dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pendermaan darah secara berkala.
Bagi menggalakkan penyertaan orang ramai, setiap penderma yang berjaya menderma darah akan menerima satu kilogram beras Super Wangi yang disediakan oleh pihak penganjur sebagai tanda penghargaan.
Beliau berharap program tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat bagi memastikan bekalan darah Hospital Sarikei sentiasa berada pada tahap yang mencukupi untuk kegunaan pesakit.
Katanya, sokongan berterusan daripada masyarakat amat penting dalam membantu pihak hospital memenuhi keperluan bekalan darah, khususnya ketika berdepan situasi kecemasan dan peningkatan permintaan darah.
Oleh Earl Anek