
SARIKEI: Tindakan pantas pasukan bomba berjaya memusnahkan sarang tebuan yang ditemui di atas pokok di sebuah kebun, Jalan Merudu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.32 petang semalam.
Katanya, seramai tiga anggota bomba telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi memusnahkan sarang serangga berbisa tersebut.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati sarang tebuan berada di atas pokok di kawasan kebun.
“Anggota bomba kemudiannya menjalankan operasi memusnahkan sarang tebuan menggunakan semburan racun serangga dan api,” katanya ketika dihubungi.
Tambahhnya, operasi tersebut dilaksanakan dengan berhati-hati bagi memastikan keselamatan anggota bomba dan mengelakkan risiko serangan daripada serangga berbisa itu.
“Operasi memusnahkan sarang tebuan ditamatkan pada 7.30 malam selepas pasukan bomba memastikan sarang tebuan tersebut berjaya dimusnahkan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri untuk memusnahkan sarang tebuan, terutama yang berada di lokasi tinggi atau sukar diakses.
Oleh Earl Anek