

KUCHING: Sebuah rumah di Kampung Sri Arjuna, Jalan Puncak Borneo di sini, musnah kira-kira 90 peratus dalam kejadian kebakaran semalam.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada 11.06 malam.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Ahmad Shah Sa’ad berkata, setibanya di lokasi, rumah berkenaan didapati telah terbakar hampir keseluruhannya.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah kediaman yang dianggarkan musnah sekitar 90 peratus. Pasukan juga terpaksa mendapatkan bekalan air dari luar kawasan kampung kerana tiada pili bomba di lokasi kejadian,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, air turut dibawa masuk secara berperingkat menggunakan beberapa jentera bagi memastikan api dapat dipadamkan sepenuhnya.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu apabila semua penghuni seramai dua orang berjaya menyelamatkan diri sebelum ketibaan bomba.
“Tiada kebakaran merebak ke rumah lain kerana kedudukan rumah agak jauh dan berada di kawasan berbukit,” katanya.
Kebakaran berjaya dikawal sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 3.02 pagi selepas keadaan disahkan selamat.
Oleh Adele Rissa