KUALA LUMPUR: AdEasy, sebuah syarikat pemula niaga adtech dan pasaran dalam talian pertama Asia Tenggara bagi pengiklanan di luar talian telah melancarkan program #AdEasyJagaSME, satu inisiatif untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di tengah-tengah krisis Covid-19.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasi, Therine Goh berkata, program itu menyediakan keterlihatan dan membantu memacu hasil segera untuk PKS melalui laman web sehenti, yang dimulakan secara langsung pada awal bulan ini
“Kami mendapat idea pada 6 April lepas dan terus melancarkan laman web kami dalam tempoh tiga hari kemudian.
“Kami mahu membantu PKS yang telah menjadi tulang belakang ekonomi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Laman web inisiatif #AdEasyJagaSME membolehkan PKS mendaftar secara percuma, dan mereka boleh aktif secara langsung dalam tempoh 24 jam selepas mendaftar.
“Butang ‘support’ pada laman web akan melencongkan pengguna ke laman web atau laman sosial PKS, yang mana mereka boleh melihat produk dan perkhidmatan yang ditawarkan, manakala butang ‘share’ membolehkan pengguna berkongsi maklumat mengenai PKS berkenaan di media sosial,” katanya.
Penyenaraian PKS di laman web itu merangkumi pelbagai keperluan pengguna seperti keluarga, hiburan dan pendidikan, inisiatif ini juga memberi manfaat kepada orang ramai kerana mereka boleh melayari dan membeli apa sahaja yang mereka perlukan daripada PKS yang relevan.
Selain itu, untuk mengelakkan penipu mengambil kesempatan daripada pandemik ini, AdEasy akan mengesahkan semua PKS yang disenaraikan di laman web tersebut bagi mewujudkan jaminan keselamatan ke atas pembelian pelanggan.
“Di samping itu, semua pembelian akan dilakukan secara langsung melalui PKS, Adeasy tidak mengenakan apa-apa komisen tambahan atau yuran sebagai orang tengah,” tambahnya.
Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif, Melissa Sim berkata, AdEasy telah bekerjasama dengan Otomate Me untuk membantu PKS yang tidak mempunyai kehadiran dalam talian.
“Aplikasi OtoOrder mereka, laman pesanan dalam talian akan membantu perniagaan seperti ini untuk menerima tempahan secara langsung daripada pelanggan melalui WhatsApp.
“Pelanggan hanya perlu memilih item mereka, mengisi maklumat perhubungan sebelum klik ‘Submit’ dan perniagaan terbabit akan menerima mesej dengan semua maklumat yang perlu bagi membantu mereka menutup jualan dengan cepat,” katanya.
Beliau menambah AdEasy merancang untuk meneruskan #AdEasyJagaSME walaupun selepas PKP berakhir. – Bernama