
BINTANGOR: Dua projek membersihkan dan menaik taraf saliran pengaliran di Sungai Mador dan Sungai Binatang (Jalan Chai Hing) telah siap dilaksanakan sepenuhnya.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, projek infrastruktur asas seperti sistem saliran amat penting bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan penduduk setempat terus terpelihara.
“Kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan infrastruktur asas termasuk sistem saliran kerana ia memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko banjir serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Kita akan terus memantau pelaksanaan projek-projek pembangunan supaya setiap peruntukan yang disalurkan benar-benar memberi manfaat kepada penduduk,” katanya.
Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian susulan lawatan pengesahan siap projek kerja membersihkan dan menaik taraf saliran pengaliran di Sungai Mador dan Sungai Binatang, semalam.
Bagi projek di Sungai Mador, lawatan pengesahan siap telah dijalankan bersama Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarikei, Mary Rittie.
Sementara itu, lawatan pengesahan siap bagi projek membersihkan dan menaik taraf saliran pengaliran di Sungai Binatang pula dilaksanakan bersama Penolong Jurutera DID Sarikei, Alwami Abdullah.
Dalam kedua-dua lawatan tersebut, beliau diwakili oleh kakitangan Pusat Khidmat Parlimen Sarikei yang turut meninjau keadaan projek bagi memastikan kerja-kerja yang dilaksanakan memenuhi skop dan objektif yang telah ditetapkan.
Tambahnya, pelaksanaan projek saliran yang baik bukan sahaja membantu melancarkan aliran air, malah mampu mengurangkan masalah takungan air yang boleh menjejaskan aktiviti harian penduduk.
“Kerajaan akan terus meneliti keperluan pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar dan bandar kecil bagi memastikan kemudahan yang disediakan dapat memenuhi keperluan rakyat,” katanya.
Tiong Sii turut merakamkan penghargaan kepada DID Sarikei serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek berkenaan dapat disiapkan dengan lancar dan memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Oleh Earl Anek