Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • 63 penerima terima bantuan kebajikan bernilai RM75,000
  • Tengah
  • WILAYAH

63 penerima terima bantuan kebajikan bernilai RM75,000

Utusan Sarawak 4 hours ago
PEGAWAI Pembangunan Zon Sri Aman, Radiah Muhamed (tengah) bergambar bersama penerima.

SARIKEI: Bantuan baucar tunai dan peralatan kesihatan bernilai RM75,000 diserahkan kepada 63 penerima terpilih dalam usaha meningkatkan kesejahteraan golongan memerlukan di Daerah Sarikei, Meradong, Kabong dan Saratok.

Hadir bagi menyerahkan bantuan tersebut ialah Pegawai Pembangunan Zon Sri Aman, Radiah Muhamed mewakili Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, Dato Jasni Jubli.

Program Penyerahan Bantuan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) Skop Kebajikan 2026 tersebut diadakan di pekarangan Everwin Mart pada hari ini.

Dalam ucapannya, beliau berkata program tersebut merupakan antara usaha berterusan kerajaan dalam memastikan golongan yang memerlukan terus menerima bantuan dan sokongan sewajarnya bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

“Pelaksanaan program ini adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang diterajui oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan negara.

“Kerajaan sentiasa prihatin dan komited untuk membantu rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan melalui pendekatan yang menyeluruh dan berfokus,” katanya.

Katanya, bantuan yang disalurkan melibatkan pemberian baucar tunai bernilai RM500 kepada 50 Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar dalam sistem eKasih dengan jumlah keseluruhan RM25,000.

Selain itu, katanya, seramai 13 penerima turut menerima bantuan peralatan kesihatan seperti mesin sedutan kahak, lampin, kerusi roda dan tiub makanan dengan nilai keseluruhan RM50,000.

PARA penerima baucar tunai menerima baucar masing-masing di Program Penyerahan Bantuan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) Skop Kebajikan 2026 yang diadakan di pekarangan Everwin Mart pada hari ini.

“Hasrat utama kerajaan komited dalam menyalurkan bantuan kepada golongan yang berkelayakan adalah untuk membina keupayaan penerima agar mampu berdikari dalam jangka masa panjang.

“Dari konteks kebajikan pula, kita berharap bantuan ini dapat menjadi pemangkin kepada para KIR untuk terus berusaha meningkatkan pendapatan keluarga,” katanya.

Jasni turut menegaskan bahawa agenda membasmi kemiskinan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, agensi pelaksana dan rakyat sendiri bagi memastikan usaha yang dilaksanakan mencapai matlamat yang diharapkan.

“Agenda membasmi kemiskinan merupakan tanggungjawab bersama, di mana kerajaan menyediakan dasar dan bantuan, agensi melaksanakan program, manakala rakyat sebagai penerima perlu memanfaatkan peluang dengan penuh kesungguhan untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik.

PARA penerima baucar tunai menerima baucar masing-masing di Program Penyerahan Bantuan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) Skop Kebajikan 2026 yang diadakan di pekarangan Everwin Mart pada hari ini.

“Sehingga Jun 2026, statistik menunjukkan seramai 2,034 individu dalam kategori miskin direkodkan di empat daerah terlibat, meliputi 409 di Sarikei, 322 di Meradong, 608 di Kabong dan 695 di Saratok,” katanya lagi.

Tambahnya, angka tersebut menunjukkan masih terdapat golongan yang memerlukan perhatian dan sokongan berterusan daripada semua pihak bagi memastikan usaha membasmi kemiskinan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Turut hadir Pegawai Daerah Meradong, Ting Kai Siang; wakil Pegawai Daerah Sarikei, Ainur Yazmin Zaini; Ketua Seksyen Kesejahteraan Rakyat Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, Hafizuldin Mahmud; wakil Residen Bahagian Sarikei, Azryn Naim Zolkefli dan wakil Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Sarikei, Haifa Hannani Kadir.

Oleh Earl Anek

Continue Reading

Previous: Pendekatan mesra rakyat perkukuh hubungan pemimpin dan masyarakat
Next: Naik taraf sistem perparitan Taman Happy Valley atasi banjir kilat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.